KUALA LUMPUR 23 Mac - TC Trucks Sales Sdn Bhd (TCTS) secara rasmi melancarkan bilik pameran terkini dan moden di Bukit Indah, Johor Bahru sebagai komitmen untuk mengembangkan lagi rangkaiannya di wilayah selatan.
Pembukaan bilik pameran terbaharu itu dilihat sesuai buat TCTS kerana populasi Johor Bahru yang kian berkembang serta berdekatan dengan Singapura.
Lokasi strategik dan trend pertumbuhan perniagaan yang kukuh hasil pelbagai pelaburan berskala besar serta pembangunan hartanah di kawasan terbabit menjadikannya cukup sesuai untuk perniagaan.
Bilik pameran baharu TCTS terletak di Wisma Tan Chong, No. 2, Jalan Indah 15/2, Taman Bukit Indah, Iskandar Puteri, Johor, mempunyai kawasan seluas 2,912 kaki persegi yang boleh mempamerkan sebuah trak komersial ringan, trak pikap dan satu ruang rehat untuk pelanggan yang selesa.
Pengarah Jualan TCTS, Law Ah Tiong berkata, dengan bilik pameran baharu di Johor, pihaknya di TCTS tidak sabar untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan dan mengembangkan perniagaan di wilayah itu.
"Bilik pameran baharu ini merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk menambah baik rangkaian serta memberi kemudahan kepada komuniti.

"Kami akan terus meningkatkan dan menambah baik aspek jualan serta servis demi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Bilik pameran baharu TCTS menawarkan produk-produk jenama Foton dan JMC, selain trak tugas berat (Foton Auman), trak tugas ringan (Foton Aumark) dan trak pikap 4X4 AT (JMC Vigus Pro) untuk memenuhi pelbagai keperluan perniagaan yang berbeza.

Jualan trak-trak Foton dan trak pikap JMC mula mencatat momentum sejak diperkenalkan sebagai alternatif kepada pengendali perniagaan, terutama dalam masa yang mencabar kini dengan menawarkan produk yang inovatif dan boleh dipercayai bersama kebolehdapatan alat ganti dan servis terbaik.
TCTS juga bekerjasama rapat dengan Angka-Tan Motors, pengedar rasmi kenderaan Foton dan JMC serta Prinsipalnya.

Ini dilakukan dengan cara memberikan maklum balas dan permintaan pasaran bagi memastikan kami dapat menawarkan produk yang tepat untuk pasaran tempatan.
Sehingga kini, TCTS disokong oleh rangkaian 3S di bandar-bandar utama termasuklah 2 di Lembah Klang, 3 di wilayah Selatan, 3 di kawasan utara dan 8 di Malaysia Timur.

TCTS akan terus membangun dan meningkatkan kewujudannya pada masa depan.

Untuk pertanyaan lanjut atau sesi pandu uji, orang ramai boleh menghubungi bilik pameran di talian 016-783 3344. - DagangNews.com








