Tarikh akhir penyerahan cadangan konsep RFI projek HSR KL-Singapura dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Tarikh akhir penyerahan cadangan konsep RFI projek HSR KL-Singapura dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov - Tarikh akhir penyerahan cadangan konsep Permintaan Maklumat (RFI) untuk projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura (KL-Singapura) dilanjutkan sehingga 15 Januari 2024, berikutan permintaan daripada pemain industri antarabangsa dan tempatan dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

 

MyHSR Corporation Sdn Bhd memaklumkan, lebih daripada 60% syarikat, yang menyatakan komitmen mereka menyerahkan cadangan konsep untuk projek HSR KL-Singapura yang pada asalnya dijadualkan pada 15 November ini.

 

Katanya, syarikat terlibat memohon lanjutan masa kerana mereka memerlukan lebih banyak masa membentuk konsortium dengan bakal rakan kongsi dan meneroka pilihan kewangan, antara lain.

 

"MyHSR Corp pada 27 Julai lalu telah menjalankan taklimat RFI bagi projek HSR KL-Singapura, yang menarik lebih 700 peserta tempatan dan asing mewakili spektrum penuh projek.

 

"Pada taklimat itu, MyHSR Corp berkongsi gambaran keseluruhan proses RFI, termasuk garis masa untuk firma tempatan dan antarabangsa serta konsortium untuk mengemukakan cadangan konsep untuk Projek HSR KL-Singapura berdasarkan inisiatif perkongsian awam-swasta dan menyampaikan projek berdasarkan model reka bentuk-pembiayaan-bina-operasi-pindahan (DFBOT)," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Menurut kenyataan itu, firma dan konsortium yang mengambil bahagian dikehendaki menunjukkan kepakaran teknikal dan keupayaan secara keseluruha untuk membangun dan mengendalikan sistem dan perkhidmatan infrastruktur utama ini dengan sumber yang diperlukan dan dalam kos, kualiti dan masa yang dianggarkan.

 

Katanya, mereka juga dikehendaki menunjukkan model komersial dan perniagaan yang berdaya maju serta konsortium dan rangka kerja tadbir urus.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MyHSR Corp, Datuk Mohd Nur Ismal Mohamed Kamal berkata, ia menerima sambutan positif daripada pemain industri, dengan lebih daripada 30 salinan dokumen RFI yang dibeli oleh firma tempatan dan antarabangsa sehingga kini.

 

"Kami difahamkan syarikat memerlukan lebih masa untuk menghasilkan cadangan berkualiti untuk Projek HSR KL-Singapura yang akan menjadi enjin pertumbuhan dan dorongan yang amat diperlukan dalam memangkin trajektori ekonomi Malaysia," katanya.

 

Latihan RFI menandakan inisiatif Kerajaan Malaysia untuk mengaktifkan semula projek HSR KL-Singapura melalui mekanisme pembiayaan baharu dan model pelaksanaan dalam usaha untuk menambah baik lagi infrastruktur pengangkutan rel dan memperkasakan ekonomi negara.

 

Pengerusi MyHSR Corp, Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman berkata, projek HSR KL-Singapura adalah pemboleh utama kepada objektif rangka kerja Ekonomi Madani seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri dengan pelbagai faedah ekonomi, sosial dan alam sekitar.

 

"Ia tidak hanya meningkatkan daya saing dan kemampanan jangka panjang negara tetapi juga memastikan pembangunan wilayah yang saksama dan meningkatkan kebolehcapaian ke bandar-bandar peringkat kedua dan ketiga kami," katanya. - DagangNews.com