Takaful IKHLAS, MAINS bekerjasama dalam program wakaf | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Takaful IKHLAS, MAINS bekerjasama dalam program wakaf

KUALA LUMPUR 15 April - Takaful Ikhlas Family Bhd (Takaful IKHLAS), subsidiari milik penuh MNRB Holdings Bhd, telah bersetuju menjalankan kerjasama strategik lima tahun dengan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dalam program wakaf yang bertujuan memperbaiki kesejahteraan masyarakat di Negeri Sembilan.

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful IKHLAS, Muhammad Fikri Mohamad Rawi berkata kerjasama itu akan memberikan peluang kepada Takaful IKHLAS bagi menjangkau golongan yang memerlukan melalui pengagihan wakaf yang lebih berkesan.

 

"Kami akan bekerjasama rapat dengan MAINS untuk menyokong komuniti melalui bantuan kewangan termasuk aktiviti penglibatan daripada faedah takaful wakaf yang disumbangkan oleh peserta kami," katanya dalam satu kenyataan.

 

Takaful IKHLAS percaya latihan keusahawanan yang disediakan melalui Program Keusahawanan Asnaf (AEP) serta Program Keusahawanan Belia (YEP) akan membantu meningkatkan kesejahteraan ASNAF dan belia, seterusnya menyumbang kepada kebaikan masyarakat.

 

Memorandum persefahaman (MOU) itu telah ditandatangani oleh Muhammad Fikri dan Pengerusi MAINS, Datuk Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir semasa Majlis Pelancaran Bulan Wakaf Negeri Sembilan yang diadakan baru-baru ini di Seremban.

 

Majlis pemeteraian MOU itu turut disaksikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

 

MoU ini membolehkan Takaful IKHLAS menyokong MAINS dalam meningkatkan sumbangan wakafnya selain menyediakan pengetahuan serta kemahiran yangdiperlukan dalam perniagaan dan pembangunan diri kepada golongan asnaf termasuk belia di Negeri Sembilan melalui AEP dan YEP. 

 

Menurut Takaful IKHLAS lagi, aktiviti dan program di bawah perkongsian itu turut disokong oleh platform pengumpulan dana patuh Syariah Takaful IKHLAS iaitu IKHLAS Barakah House (IBH), Bernama melaporkan.

 

IBH berhasrat untuk menyumbang kepada komuniti yang positif serta mampan melalui lima tonggak utama iaitu pendidikan, penjagaan kesihatan, pemerkasaan ekonomi, pengayaan komuniti dan alam sekitar. - DagangNews.com