Takaful IKHLAS, Andalusia jalin kerjasama strategik sedia perlindungan takaful kepada jemaah umrah | DagangNews Skip to main content

Takaful IKHLAS, Andalusia jalin kerjasama strategik sedia perlindungan takaful kepada jemaah umrah

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 April - Takaful Ikhlas General Berhad (Takaful IKHLAS) dan agensi pelancongan tempatan, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel & Tours) menjalin kerjasama strategik bermula 7 Februari 2022 bagi melengkapkan peserta haji dan umrah dengan perlindungan takaful menyeluruh sepanjang tempoh ibadah. 

 

Kerjasama itu menyokong inisiatif Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC) dalam memudahkan ziarah umrah di samping memastikan kebolehlaksanaan dan kesinambungan rakyat Malaysia untuk melaksanakan aktiviti umrah.

 

Melalui kerjasama strategik, Takaful IKHLAS akan menyediakan produk dan khidmat takaful kepada peserta umrah yang berdaftar dengan Andalusia Travel & Tours. 

 

Produk dan khidmat takaful daripada Takaful IKHLAS akan diedarkan melalui Andalusia Tijarah, iaitu unit pengurusan takaful bagi Andalusia Travel & Tours yang mempunyai 40 cawangan di serata negara. 

 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Takaful Ikhlas, Datuk Rudy Rodzila Che Lamin berkata, syarikat menyokong sepenuhnya usaha Andalusia Travel & Tours dalam memberikan khidmat penyediaan pakej umrah kepada rakyat Malaysia. 

 

"Kami berbesar hati menjadi pengendali takaful eksklusif untuk bekerjasama dengan Andalusia Travel & Tours dalam membantu menyediakan pelbagai perlindungan takaful kepada rakyat Malaysia yang ingin menunaikan ibadah umrah serta melancong bersama Andalusia Travel & Tours," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

 

takaful
Datuk Rudy Rodzila Che Lamin

 

 

Pengasas Andalusia Travel & Tours, Ibrahim Mat Sin pula berkata, syarikat berbesar hati kerana Takaful IKHLAS menyediakan pelan perlindungan yang ekstensif untuk memenuhi pelbagai keperluan jemaah umrah. 

 

"Ini membuktikan bahawa Takaful IKHLAS sangat peka kepada masalah peserta umrah yang memerlukan perlindungan tambahan termasuk perbelanjaan perubatan dan kos kuarantin bagi mereka yang positif COVID-19 sebaik sahaja pulang ke tanah air," katanya.

 

Gabungan kekuatan kerjasama serta pembangunan industri umrah dan pelancongan yang memberangsangkan dapat memberikan impak yang positif kepada Takaful IKHLAS dan Andalusia Travel & Tours. 

 

Kerjasama dijangka mampu meningkatkan pendapatan Takaful IKHLAS sebanyak RM9 juta setahun selain memperkukuhkan jenama Takaful IKHLAS sebagai pengendali takaful yang dipercayai dalam menyediakan perlindungan kepada peserta umrah. 

 

Selain itu, ia juga dijangka dapat melebarkan penguasaan pasaran Takaful IKHLAS dalam segmen takaful perjalanan. 

 

Bagi Andalusia Travel & Tours pula, kerjasama itu dapat memperkukuhkan kedudukannya sebagai peneraju pasaran penyediaan pakej dan pengaturan perjalanan umrah yang menyediakan perlindungan takaful komprehensif kepada pelanggannya. 

 

Jalinan kerjasama juga turut dapat membantu meningkatkan pasaran sedia ada Andalusia Travel & Tours iaitu daripada 30,000 pelanggan kepada lebih 50,000 pelanggan setiap tahun. - DagangNews.com