Tabung Haji umum agihan keuntungan 2023 kekal sebanyak 3.1% | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji umum agihan keuntungan 2023 kekal sebanyak 3.1%

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 April - Lembaga Tabung Haji (TH) mengumumkan agihan keuntungan bagi tahun kewangan 2023 adalah sebanyak 3.1% selepas mengambil kira pelunasan zakat sebanyak 2.57%, sama seperti tahun kewangan sebelumnya. 

 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memaklumkan, agihan keuntungan itu melibatkan jumlah sebanyak RM2.72 bilion dan bakal memberi manfaat kepada lebih 9.15 juta pendeposit Tabung Haji. 

 

Menurut beliau, kadar pengagihan keuntungan itu lebih tinggi berbanding RM2.65 bilion kepada 8.8 juta pendeposit pada tahun kewangan 2022. 

 

Beliau berkata, prestasi TH pada 2023 didorong oleh pelaburan patuh syariah dalam instrumen pendapatan tetap yang menjana 52% daripada jumlah pendapatan keseluruhan manakala 24% lagi disumbang oleh pelaburan ekuiti. 

 

th

 

Selain itu, katanya, pulangan daripada pelaburan hartanah dan pasaran wang turut menyumbang sebanyak 24% daripada jumlah pendapatan. 

 

“Alhamdulillah, TH masih lagi dapat memberikan agihan keuntungan pada kadar 3.1%, sama seperti tahun sebelumnya meskipun negara terus berdepan persekitaran yang mencabar ketika ekonomi berkembang perlahan. 

 

Agihan keuntungan TH 2023 mematuhi Akta Tabung Haji 1995 iaitu dilaksanakan setelah penyata kewangan TH tahun lepas selesai diaudit Jabatan Audit Negara dan mengambil kira rosot nilai terutamanya pelaburan legasi pajakan hartanah di Arab Saudi serta pelaburan hartanah di United Kingdom.

 

th

 

“Ini menjadikan jumlah terkumpul agihan keuntungan sejak penubuhan TH selama 60 tahun sebanyak RM42.9 bilion sehingga kini,” katanya. 

 

Sementara itu, Mohd Na’im memaklumkan, TH juga akan melunaskan zakat sebanyak RM101 juta kepada semua majlis-majlis agama Islam negeri bagi pihak pendepositnya. 

 

Beliau berkata, TH berharap pelunasan zakat itu secara langsung atau tidak langsung dapat membantu usaha kerajaan menoktahkan kemiskinan tegar di seluruh negara. 

 

th

 

“Dengan pelunasan zakat ini, pendeposit tidak perlu lagi membayar zakat ke atas wang simpanan serta agihan keuntungan yang diterima. 

 

“Sehingga kini, TH telah melunaskan zakat berjumlah RM1.37 bilion bagi pihak pendeposit,” katanya.  - DagangNews.com