Tabung Haji nasihat orang ramai hati-hati dengan tawaran pakej haji | DagangNews Skip to main content

Tabung Haji nasihat orang ramai hati-hati dengan tawaran pakej haji

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mac -  Lembaga Tabung Haji (TH) menasihati orang ramai terutamanya umat Islam di Malaysia untuk lebih berhati-hati dengan tawaran pakej haji bagi tujuan menunaikan ibadat haji untuk tahun 2022.

 

Pengarah Eksekutif TH, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, pada ketika ini Kerajaan Malaysia dan TH masih lagi menunggu pengumuman rasmi berhubung urusan haji bagi musim haji 2022 daripada Kerajaan Arab Saudi.

 

“Pihak kami dan kedutaan Arab Saudi mendapati ada segelintir agensi pelancongan mengambil kesempatan untuk mengiklankan pakej-pakej haji mahupun badal haji yang amat meragukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Menurut Syed Saleh, beliau mengingatkan kepada mana-mana individu atau agensi pelancongan yang menawarkan perkhidmatan pakej haji tanpa kelulusan daripada TH adalah menjadi satu kesalahan dan mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Tabung Haji 1995 (Akta 535).

 

Pada awal bulan Mac 2022, TH telah melantik 22 syarikat pelancongan tempatan untuk beroperasi sebagai Pengelola Jemaah Haji (PJH) bagi musim Haji 2022, adalah antara langkah awal persediaan haji yang dilakukan TH saban tahun. 

 

Kesemua PJH yang dilesenkan tidak dibenarkan lagi mengeluarkan sebarang iklan pakej haji sehingga kebenaran rasmi dikeluarkan oleh TH.

 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Panggilan Tabung Haji (THCC) di talian 03- 62071919. - DagangNews.com