SUV Hyundai Tucson, Sante Fe serba baharu kini terbuka untuk tempahan di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SUV Hyundai Tucson, Sante Fe serba baharu kini terbuka untuk tempahan di Malaysia

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 3 Nov - Hyundai-Sime Darby Motors (HSDM) membuka tempahan untuk model SUV Tucson dan Santa Fe generasi keempat versi facelift serba baharu di Malaysia. 

 

Kedua-dua SUV tersebut dipamerkan buat kali pertama di Ekspo Kereta Auto Premium (PACE) paultan.org 2023, yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City di Setia Alam pada 4 hingga 5 November ini.

 

Pengarah Urusan Asia Tenggara Sime Darby Motors, Jeffrey Gan berkata, pihaknya gembira memperkenalkan Tucson dan Santa Fe baharu secara serentak, yang merupakan model Hyundai terkenal di pasaran Malaysia. 

 

"Secara khusus, pengenalan Santa Fe adalah penting kerana tiga sebab utama. Pertama, ini adalah kali pertama varian hibrid Santa Fe tersedia di Malaysia. Kedua, ia adalah hibrid Hyundai pemasangan tempatan (CKD) kedua selepas IONIQ Hybrid pada 2016, dan ketiga, kenderaan itu juga dihasilkan untuk dieksport ke Thailand.

 

"Ini adalah komitmen kukuh kami kepada ekosistem automotif Malaysia dan terus memberikan nilai kepada pelanggan kami. Melangkah ke hadapan, kami akan terus meneroka peluang sinergi untuk terus berkembang dan membangunkan industri utama ini," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Reka bentuk Tucson yang baharu 'Sensuous Sportiness' adalah kelainan yang ketara daripada generasi sebelumnya.

 

Diimport sepenuhnya (CBU) dari Korea Selatan, Tucson didatangkan dalam tiga varian, kesemuanya pacuan roda hadapan, 2.0 Lite, 1.6T Plus dan 1.6T Max. 

 

 

hyundai

 

 

hyundai

 

 

Enjin Smartstream MPI 2.0 Lite menghasilkan 156 PS dan 192 Nm tork, dengan enam kelajuan automatik, manakala dua varian lain menggabungkan pengecas enjin turbo Smartstream 1.6 TGDi yang menghasilkan 180 PS dan tork 265 Nm dengan transmisi 'dual-clutch' tujuh kelajuan (DCT) yang menampilkan pemilihan gear butang tekan.

 

Warna yang tersedia termasuk Amazon Grey Metallic, Phantom Black Pearl, Creamy White Pearl, Crimson Red Pearl dan Silky Bronze Metallic, dengan dua yang terakhir tidak ditawarkan pada 2.0 Lite.

 

Sementara itu, jika lima tempat duduk tidak mencukupi, terdapat Santa Fe yang lebih besar.

 

 

hyundai

 

 

hyundai

 

 

Dipasang secara tempatan di kemudahan Inokom Corporation Sdn Bhd (Inokom) Kulim, Kedah, SUV tujuh tempat duduk baharu itu menawarkan peningkatan ketara berbanding model asal generasi keempat.

 

Tiga varian kini dibuka untuk tempahan di pasaran Malaysia – Hybrid Plus, Hybrid Max dan Diesel Max.

 

 

hyundai

 

 

 

hyundai

 

 

hyundai

 

 

Varian Hibrid dikuasakan gabungan enjin petrol T-GDI 1.6 liter yang menghasilkan 180 PS dan 265 Nm tork, dan motor elektrik 44.2 kW, memberikan jumlah output sistem sebanyak 230 PS dan 350 Nm tork, dengan transmisi automatik enam kelajuan.

 

Enjin diesel 2.2 liter CRDi varian Diesel Max menghantar 202 PS dan 440 Nm tork kepada keempat-empat roda melalui sistem pacuan semua roda HTRAC Hyundai dan DCT lapan kelajuan. - DagangNews.com