Super Nice Express pilih casis koc MAN untuk program pengembangan fleet terkini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Super Nice Express pilih casis koc MAN untuk program pengembangan fleet terkini

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 20 Dis - Syarikat bas ekspres, Super Nice Express Sdn Bhd menerima penambahan terkini sebuah koc dua tingkat dibina menggunakan casis tiga gandar MAN RR5 daripada pengeluar kenderaan berat komersial Jerman, MAN Truck & Bus (M) Sdn Bhd.

 

Casis koc MAN RR5 digandingkan dengan kotak gear MAN TipMatic yang pintar dan senyap untuk membolehkan pergerakan permulaan selesa, pertukaran gear lancar dan penjimatan bahan api dengan keselesaan pemanduan serta perjalanan kelas pertama. 

 

Koc MAN baharu yang dimiliki Super Nice turut menampilkan reka bentuk badan TX9 baharu dan inovatif serta kerusi graviti sifar pertama di Malaysia. 

 

Kerusi ini menjanjikan pengedaran darah optimum dan keselesaan tanpa sakit badan walaupun duduk selama berjam-jam. Badan bas ini direka TACT Coach Seat & Manufacturing Sdn Bhd berpangkalan di Pulau Pinang. 

 

Pengarah Urusan MAN Malaysia, Andrew O’Brooks berkata, casis koc MAN RR5 memenuhi semua keperluan Super Nice kerana fleksibel, serba boleh dan tahap kebolehpercayaan tinggi serta dilengkapi  sistem keselamatan termaju dan tali pacuan cekap dan menjimatkan.

 

Beliau berkata, pihaknya menawarkan produk ideal dan sedia ada sama ada dengan pelepasan rendah ataupun sifar untuk membantu Super Nice menyertai perjalanan kemampanan tanpa menjejaskan keuntungan.  

 

"Ini dapat membantu syarikat terus berkembang menjadi penyedia pengangkutan yang mampan. Mulai tahun 2023, MAN Malaysia akan menawarkan enjin Euro V rendah pelepasan sebagai standard untuk semua casis bas dan koc MAN. 

 

 

man

 

 

man

 

 

"Kami juga mula menerima pesanan untuk casis MAN eBus elektrik sepenuhnya dengan pelepasan sifar bagi terus memperjuangkan perubahan ke arah mobiliti mampan untuk sektor pengangkutan awam di Malaysia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Pengerusi Super Nice, Roy Chew pula berkata, bahawa syarikat kini mengendalikan 40 unit koc MAN selepas mengambil alih Zenwan Express, syarikat koc mewah popular yang memberi perkhidmatan untuk laluan Singapura-Melaka-Kuala Lumpur-Ipoh.

 

 

man

 

 

Katanya, koc MAN telah terbukti boleh dipercayai dengan masa henti minimum dan kos penyelenggaraan rendah. 

 

"Kelebihan ini menggalakkan kami untuk membeli unit-unit tambahan bagi menyokong permintaan yang semakin meningkat bagi perjalanan ke seluruh negara," katanya.

 

Dalam majlis penyerahan di Batu Kawan, Pulau Pinang, Super Nice juga menandatangani perjanjian untuk membeli 10 unit lagi casis koc MAN RR5 dan RR3 daripada MAN Malaysia. - DagangNews.com