KUALA LUMPUR 20 Jan - Sunway Healthcare Holdings Sdn. Bhd. (SHH) menerusi Sunway Healthcare Treasury Sdn. Bhd. mengemukakan maklumat serta dokumen kepada Suruhanjaya Sekuriti (SC) berkaitan penerbitan nota jangka sederhana Islam dengan nilai nominal RM5 bilion berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al Istithmar.
Menurut Sunway Bhd. dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, hasil daripada program sukuk itu akan digunakan bagi membiayai perniagaan penjagaan kesihatan dan berkaitan, perbelanjaan modal, tujuan am korporat, modal kerja serta pembiayaan semula pinjaman Syariah dan patuh syariah/pinjaman konvensional sedia ada serta akan datang.
"Hasil itu akan turut dimanfaatkan oleh penerbit dan/atau SHH Group bagi projek-projek yang memenuhi kriteria pembiayaan mampan," katanya.
Sunway berkata, program bertempoh 100 tahun daripada tarikh terbitan pertama Sukuk Wakalah, yang akan juga dalam tempoh 90 hari bekerja daripada tarikh serahan kepada SC.
Program tersebut memberi fleksibiliti kepada penerbit untuk menerbitkan sukuk wakalah yang mematuhi satu atau lebih garis panduan, prinsip atau rangka kerja tertentu dari semasa ke semasa.
Sukuk itu menyaksikan Maybank Investment Bank Bhd. sebagai penasihat utama, pengatur utama, pengurus utama, ejen kemudahan dan penasihat penstrukturan kelestarian manakala Maybank Islamic Bhd. merupakan penasihat syariah. - DagangNews.com








