Sunview teroka segmen RE menerusi pengambilalihan Provectus Bioenergy | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview teroka segmen RE menerusi pengambilalihan Provectus Bioenergy

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 21 Feb - Sunview Group Bhd. bersama tiga lagi syarikat bercadang untuk mengambil alih Provectus Bioenergy Sdn. Bhd. dengan membeli 1 juta saham yang berjumlah RM115,688.

 

Ini menyaksikan Sunview, melalui anak syarikatnya, Suntech Energy Sdn. Bhd, telah memeterai perjanjian penjualan saham (SSA) bersama tiga syarikat iaitu Waran RE Assets Sdn. Bhd., Intechcity Construction Sdn. Bhd. dan Pasir Lembayung Sdn. Bhd. untuk mengambil alih syarikat tersebut, semalam.

 

Menurut kenyataan kumpulan tersebut di Bursa Malaysia, selepas pengambilalihan, Sunview akan memiliki 20% dalam Provectus Bioenergy manakala baki 80% akan dimiliki oleh tiga syarikat berkenaan. 

 

Provectus Bioenergy ialah sebuah syarikat sendirian berhad yang terutama terlibat dalam operasi kemudahan penjanaan yang menghasilkan tenaga elektrik.

 

Pengambilalihan Provectus Bioenergy dilakukan melalui dana yang dijanakan secara dalaman oleh Sunview dan dijangka selesai menjelang suku kedua 2023.

 

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Sunview Group Bhd., Ong Hang Ping berkata, langkah itu adalah sejajar dengan rancangan pengembangan kumpulan ke dalam industri tenaga boleh diperbaharui (RE) yang lain seperti dinyatakan dalam prospektus tawaran awam permulaan (IPO) baru-baru ini. 

 

"Pengambilalihan ini merupakan usaha pertama kami dalam industri RE biogas dan akan menjadi pendorong kepada lebih banyak lagi projek RE biogas pada akan datang,” katanya.

 

Sunview Group Berhad merupakan pemain tenaga RE yang turut terlibat dalam kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) kemudahan fotovoltaik solar (PV) untuk bangunan perindustrian, komersial dan kediaman, PV solar dan perkhidmatan pemasangan, penjanaan dan bekalan tenaga solar serta produk dan perkhidmatan yang berkaitan. -DagangNews.com