Sunview peroleh pinjaman bank RM59 juta untuk bangunkan loji solar PV skala besar di Kuala Langat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview peroleh pinjaman bank RM59 juta untuk bangunkan loji solar PV skala besar di Kuala Langat

KUALA LUMPUR 11 Mei - Sunview Berhad telah memperoleh kemudahan perbankan sehingga RM58.9 juta untuk membiayai pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) skala besar 26 MW di Mukim Tanjung Dua Belas di Kuala Langat.

 

Dalam makluman di Bursa Malaysia semalam, kumpulan itu berkata kemudahan pinjaman daripada United Overseas Bank (Malaysia) Bhd tersebut telah diterima oleh anak syarikat miliknya, Fabulous Sunview Sdn Bhd pada Rabu (10 Mei).

 

Pada 25 Oktober tahun lepas, Fabulous Sunview telah menerima kontrak RM93.8 juta daripada LSS TPG Sdn Bhd bagi perkhidmatan kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk membangunkan loji solar PV berskala besar 26 MW.

 

 

BACA: Sunview Group raih kontrak EPCC PV bernilai RM93.8 juta di Kuala Langat

 

 

Ini adalah kemudahan perbankan kedua yang telah diperolehi oleh Sunview. Pada Januari, ia memperoleh kemudahan pinjaman RM20 juta daripada Bank Islam Malaysia Bhd untuk membiayai keperluan kerja amnya serta invois berkaitan projek tertentu yang diberikan kepada Fabulous Sunview.

 

Bulan lalu, Sunview menandatangani perjanjian dengan Chua Nyok Chong, memiliki 50.54% pegangan dalam Winstar Aluminium Manufacturing Sdn Bhd, bagi memperoleh 20% pegangan dalam syarikat itu pada harga RM12 juta untuk mengembangkan perniagaan pemasangan solar aloi aluminium.

 

 

BACA: Sunview kembangkan perniagaan dalam sistem pemasangan solar aloi aluminium

 

 

Setakat pukul 10:30 pagi hari ini, saham Sunview telah menokok 0.5 sen atau 0.7% kepada 68.5 sen, memberikannya permodalan pasaran berjumlah RM320.6 juta. -DagangNews.com