Sunview catat untung RM3.21 juta pada suku kedua dipacu segmen EPCC | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sunview catat untung RM3.21 juta pada suku kedua dipacu segmen EPCC

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 29 Nov - Sunview Group Bhd. merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM3.21 juta pada suku kedua berakhir 30 September 2022, meningkat 77.65% daripada RM1.81 juta bagi suku sebelumnya. 

 

Pendapatan kumpulan melonjak 150% suku ke suku kepada RM78.95 juta pada suku berkenaan terutamanya disumbangkan hasil yang diiktiraf daripada projek kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC).

 

Segmen tersebut menyumbang sebanyak 96% daripada keseluruhan hasil pada suku dikaji manakala hasil selebihnya disumbangkan oleh perkhidmatan & produk berkaitan, penjanaan & bekalan kuasa serta pembinaan & pemasangan segmen kemudahan PV solar.

 

Bagi tempoh kumulatif enam bulan berakhir 30 September 2022, syarikat tenaga boleh diperbaharui itu merekodkan pendapatan sebanyak RM110.45 juta, melepasi pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 sebanyak RM99.26 juta manakala keuntungan bersih berjumlah RM5.02 juta.

 

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Pegawai Eksekutif Sunview, Ong Hang Ping berkata, peningkatan ketara pada suku kedua terutamanya dipacu permintaan kukuh bagi tenaga boleh diperbaharui memandangkan momentum pertumbuhannya diunjur mampan pada suku berikutnya. 

 

Katanya, kumpulan juga dalam proses tender terakhir untuk beberapa projek EPCC solar PV dan biogas yang sepatutnya memberikan keterlihatan kewangan untuk tahun kewangan akan datang.

 

"Melangkah ke hadapan, prospek kumpulan sepatutnya disokong oleh Perjanjian Pembelian Tenaga Maya dengan jumlah kuota 600 megawatt, yang akan ditawarkan oleh syarikat solar tempatan dan multinasional.

 

"Ini akan memberi kami peluang perniagaan untuk mengukuhkan lagi nilai kontrak kumpulan kerana kami menetapkan untuk membida 20% daripada jumlah kuota berkenaan," katanya.

 

Setakat suku kedua itu, nilai kontrak belum dibilkan Sunview berjumlah RM547.93 juta dan akan diiktiraf dalam tempoh dua tahun akan datang. - DagangNews.com