Saham Manchester United menjunam, krisis kewangan semakin meruncing | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Saham Manchester United menjunam, krisis kewangan semakin meruncing

LONDON 18 Sept - Manchester United, kelab bola sepak yang pernah menguasai Eropah, menyaksikan sahamnya merosot sehingga 8% pada dagangan awal di New York pada Rabu selepas mencatatkan hasil yang mendatar serta kerugian berterusan, menzahirkan jurang yang semakin melebar dengan pesaing di dalam dan luar padang.

 

Kelab Liga Perdana itu, dimiliki keluarga Glazer serta bilionair Britain Sir Jim Ratcliffe, merekodkan hasil berjumlah £666.5 juta (RM3.93 bilion) bagi tahun kewangan berakhir Jun 2025, dengan kerugian £33 juta (RM194.7 juta).

 

Angka itu hanya sedikit lebih baik berbanding hasil £661.7 juta tahun lalu, menurut laporan Bloomberg.

 

Walaupun kerugian tahunan berkurangan, kelab itu telah menanggung defisit sekitar £300 juta (RM1.77 bilion) sepanjang lima tahun lalu, mendorong Ratcliffe baru-baru ini memberi amaran bahawa Manchester United “kehabisan wang”. Tekanan kewangan ini hadir tatkala kelab merancang pembinaan stadium baharu berkapasiti 100,000 tempat duduk.

 

Kebimbangan pelabur turut diperteguh dengan cabaran utama perniagaan Ratcliffe, Ineos Group Holdings SA. Awal minggu ini, Moody’s Ratings menurunkan penarafan kredit Ineos ke tahap sangat spekulatif, merujuk kepada prestasi operasi yang semakin lemah serta metrik kewangan yang rapuh.

 

Daripada Kuasa Besar ke Pasukan Bergelut

Pernah menjadi kelab berpendapatan tertinggi di Eropah ketika era Sir Alex Ferguson pada 2005, Manchester United kini jauh ketinggalan di belakang Real Madrid yang meraih €1.04 bilion (AS$1.2 bilion), serta seteru setempat Manchester City (€837.8 juta).

 

Pendapatan komersial meningkat 10% kepada rekod £333.3 juta, namun hasil penyiaran merosot 22% berikutan kedudukan liga yang rendah dan ketiadaan dalam Liga Juara-Juara.

 

Musim lalu, United mara ke final Liga Europa, tetapi pulangan kewangan pertandingan itu jauh lebih kecil berbanding kejohanan utama. Musim ini, meskipun sembilan kelab England beraksi di pentas Eropah, United tidak tersenarai.

 

Kelab itu juga membelanjakan £36.6 juta (RM216 juta) bagi kos luar biasa, termasuk pampasan pemberhentian staf di Old Trafford.

 

Dari sudut prestasi, United kini mencatat permulaan liga terburuk dalam 33 tahun, berada di tangga ke-14 selepas empat perlawanan dengan hanya satu kemenangan. Ogos lalu, United turut dimalukan dengan kekalahan kepada kelab divisyen keempat, Grimsby Town.

 

Tekanan ke Atas Amorim

Pengurus Ruben Amorim, yang diambil dari Sporting Lisbon pada November 2024, dikritik kerana bertegas dengan sistem taktikalnya meskipun keputusan hambar.

 

“Saya tidak percaya masalah ini kerana sistem. Saya percaya dengan cara saya dan akan terus bermain dengan cara itu sehingga saya sendiri mahu berubah,” katanya selepas tewas besar kepada Manchester City hujung minggu lalu.

 

Walaupun berbelanja €250.7 juta (RM1.30 bilion) pada jendela perpindahan musim panas untuk membawa masuk pemain baharu, United hanya menjana hasil jualan €74.2 juta (RM386 juta), dipacu oleh pemergian Alejandro Garnacho. Rekod pasukan pula sekadar lapan kemenangan sejak Amorim mengambil alih, prestasi yang hampir menyamai pasukan tercorot.

 

Kombinasi tekanan kewangan dan kegagalan di padang mengukuhkan lagi kebimbangan bahawa jenama Manchester United yang gah suatu ketika dahulu semakin jauh ditinggalkan kelab elit Eropah. - DagangNews.com