Sukan Komanwel 2022: PM yakin sasaran pingat negara dicapai di Birmingham, mengatasi pencapaian lepas di Gold Coast | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sukan Komanwel 2022: PM yakin sasaran pingat negara dicapai di Birmingham, mengatasi pencapaian lepas di Gold Coast

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika merasmikan Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel ke-22, hari ini. - Gambar BERNAMA
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 19 Julai - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menaruh keyakinan yang amat tinggi bahawa sasaran pingat negara boleh dicapai menandingi bilangan tujuh emas yang pernah dimenangi jaguh-jaguh negara semasa Sukan Komanwel 2018 di Gold Coast, Australia.

 

Ismail Sabri berkata, atlet negara yang beraksi di temasya Sukan Komanwel di Birmingham, England pada 28 Julai hingga 8 Ogos 2022 harus membuktikan keupayaan dan berjuang habis-habisan bagi menterjemahkan kejayaan yang bakal menjadi kebanggaan diri dan Keluarga Malaysia.

 

"Pepatah Melayu mengatakan, ‘genggam bara api, biar sampai jadi arang’, menunjukkan bahawa Keluarga Malaysia perlu memiliki keazaman untuk meraih kejayaan dalam apa juga yang dilakukan.

 

"Begitulah juga dengan bakal-bakal jaguh sukan negara yang saya percaya mampu meraih kejayaan kerana memiliki semangat juang yang jitu, berbekalkan latihan mencukupi dengan menggunakan peralatan sukan yang sesuai dan terkini.

 

"Saya dan seluruh Keluarga Malaysia berharap agar kita dapat mencapai sasaran bilangan pingat yang sudah disasarkan oleh Majlis Olimpik Malaysia (OCM) di temasya sukan itu nanti," katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Jalur Gemilang Kontinjen Malaysia ke Sukan Komanwel ke-22, di sini hari ini.

 

Perdana Menteri juga yakin dan percaya para atlet akan memberikan yang terbaik dan memperlihatkan aksi maksimum apabila menyarungi jersi Harimau Malaysia di pentas Sukan Komanwel, Birmingham.

 

"Kalah menang sebenarnya adat pertandingan tetapi tunjukkanlah kepada dunia semangat perjuangan anak-anak Malaysia. Semangat Harimau Malaya yang sebenar-benarnya," katanya.

 

Beliau berkata, sukan adalah sebahagian daripada agenda nasional yang mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam kalangan rakyat serta menjadi wadah untuk membentuk kebersamaan Keluarga Malaysia.

 

"Jadikanlah sukan sebagai jambatan dan instrumen untuk bersatu-padu serta semarakkan nilai-nilai ini untuk menjadikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang aman dan damai," katanya.

 

Beliau turut berpesan pemergian para atlet ke Birmingham bukan sekadar mewakili diri sendiri, mewakili seluruh rakyat, wakili negara Malaysia. 

 

"Ini adalah perjuangan untuk Malaysia, harumkan nama Malaysia di Birmingham. Berjuanglah sebaik-baiknya kerana anda mampu mengharumkan nama negara dan pastikan lagu Negaraku berkumandang di bumi England. 

 

"Saya yakin lagu Negaraku akan berkumandang dan Jalur Gemilang akan dikibarkan," katanya. - DagangNews.com