Strategi IHH Healthcare berkembang ke Sarawak dijangka beri kelebihan didorong peningkatan permintaan – MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Strategi IHH Healthcare berkembang ke Sarawak dijangka beri kelebihan didorong peningkatan permintaan – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Ogos - Strategi IHH Healthcare Berhad mengembangkan operasi ke Sarawak dijangka beri kelebihan kepadanya didorong oleh peningkatan permintaan untuk hospital, menurut MIDF Research.

 

IHH Healthcare dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam berkata ia akan mengambil alih keseluruhan kepentingan ekuiti dalam Bedrock Healthcare Sdn. Bhd. berharga RM245 juta, yang mengendali Pusat Perubatan Timberland di Kuching.

 

 

 

BACA JUGA: IHH Healthcare ambil alih keseluruhan pegangan Bedrock Healthcare dalam Pusat Perubatan Timberland berharga RM245 juta

 

 

MIDF Research berkata memandangkan Sarawak telah membangunkan sektor perindustrian dan minyak dan gasnya, ini berkemungkinan memacu lebih banyak permintaan untuk penjagaan hospital.

 

Tambahnya, pelancongan perubatan juga dijangka memainkan peranan, kerana perjalanan domestik ke negeri ini telah meningkat dengan pesat dalam 2022 sebanyak 138% kepada 15.5 juta pelawat domestik, dengan jangkaan peningkatan tambahan 20% menjelang akhir tahun ini.

 

“Kami berpendapat bahawa, dengan peningkatan populasi mereka yang berusia, hospital pakar yang merawat penyakit berkaitan usia tertentu akan mendapat permintaan tinggi dalam masa terdekat,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Menurut firma itu, jumlah penduduk  berusia di Sarawak semakin meningkat pada kadar 0.55% setahun, sejak 2020.

 

Firma itu berkata menjelang 2028, Sarawak dijangka secara rasmi menjadi negeri dengan jumlah penduduk berusia tertinggi, dengan populasi terkini berjumlah kira-kira 312,000, merangkumi 12.6% penduduknya.

 

Di samping itu, ia berada di lokasi strategik untuk meningkatkan sosio-ekonomi Sarawak, di mana Kuching berfungsi sebagai hab ekonomi dan perdagangan, serta mempunyai beberapa universiti dan institusi penyelidikan.

 

“Penduduk Kuching juga diramalkan meningkat pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 2.3%. Kami menjangkakan bahawa pembekal perkhidmatan penjagaan kesihatan tambahan di Kuching akan diperlukan dalam jangka masa panjang, justeru kami positif terhadap pelan pemerolehan ini,” tambahnya.

 

MIDF Research mengekalkan unjuran pendapatan IHH Healthcare sementara menunggu keputusan suku kedua tahun kewangan 2023 (2QFY23) dan pertimbangan peringkat awal pengambilalihan tersebut.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM6.57 sesaham.

 

Pada waktu penulisan, saham IHH Healthcare turun 4 sen atau 0.7% kepada RM5.96 dengan permodalan pasarannya berjumlah RM52.5 bilion. - DagangNews.com