KUALA LUMPUR 4 Jan - Straits Energy Resources Bhd. bercadang untuk mempelbagaikan aliran pendapatan kumpulan dengan menceburi segmen perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian.
Ketika ini kumpulan bergantung kepada empat aktiviti utama yang menjadi perniagaan terasnya terdiri daripada perkhidmatan berkaitan bunker minyak dan perkapalan, pengangkutan darat, pengurusan pelabuhan dan perkhidmatan pengurusan kemudahan dan operasi kapal-ke-kapal.
Kesemua aktiviti itu menyumbang kepada kumpulan terutama perkhidmatan berkaitan bunker minyak dan perkapalan menyumbang lebih daripada 99% hasil kumpulan.
Dalam makluman di Bursa Malaysia, UOB Kay Hian Securities (M) Sdn. Bhd. bagi pihak Straits Energy berkata, melalui pengambilalihan Macro Lynx Sdn. Bhd., kumpulan berhasrat untuk meningkatkan lagi pendapatannya dengan mempelbagaikan perniagaan kepada perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian.
"Kumpulan menjangkakan aktiviti perniagaan baharu ini akan menyumbang 25% atau lebih daripada keuntungan bersih dan/atau mengakibatkan lencongan lebih daripada 25% daripada aset bersih.
"Lembaga Pengarah turut menjangkakan segmen baharu ini akan menyumbang sebahagian besarnya kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan kerana ia akan terus mengenal pasti dan mendapatkan projek tambahan bagi mengembangkan lagi perniagaan tersebut dalam tempoh jangka panjang," katanya hari ini.
Pada 8 Disember 2021, kumpulan menerusi anak syarikat 75% miliknya, Straits Technology Solutions Sdn. Bhd. (STS) telah melengkapkan pengambilalihan 70% kepentingan dalam Straits CommNet Solutions Sdn. Bhd. (SCS).
Ini diikuti dengan pada 16 Disember 2022, kumpulan mengumumkan STS telah memeterai perjanjian penjualan saham dengan ViewQwest Sdn. Bhd. untuk memperoleh 70% kepentingan ekuiti dalam Macro Lynx, yang terlibat terutamanya dalam penyediaan perkhidmatan capaian internet jalur lebar, perkhidmatan web, pembekalan dan perkhidmatan komputer serta produk berkaitan.
Sebagai sebahagian daripada strategi untuk mempelbagaikan dan mewujudkan aliran pendapatan dan pendapatan tambahan, pengambilalihan kepentingan dalam SCS dan Macro Lynx memberi peluang kepada Straits Energy untuk menceburi perniagaan perkhidmatan telekomunikasi dan rangkaian.
Sehubungan itu, UOB Kay Hian berkata, lembaga pengarah bercadang untuk mendapatkan kelulusan daripada pemegang saham Straits Energy untuk melaksanakan cadangan kepelbagaian menurut Peraturan 10.13 Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Bhd. pada mesyuarat agung luar biasa (EGM) yang akan diadakan.
Menurutnya, cadangan itu adalah selaras dengan strategi kumpulan untuk mengenal pasti segmen perniagaan baharu yang akan meningkatkan pendapatan masa hadapan.
"Kumpulan berpendapat perniagaan telekomunikasi dan rangkaian di Malaysia dijangka mendapat manfaat daripada pelbagai faktor yang mendorong permintaan melalui kemajuan teknologi dalam internet segala-galanya (IoT) dan prestasi pasaran jalur lebar," jelasnya.
Straits Energy menjangkakan cadangan itu akan berkuat kuasa serta-merta setelah mendapat kelulusan pemegang saham. UOB Kay Hian dilantik sebagai penasihat bagi cadangan tersebut. - DagangNews.com








