KUALA LUMPUR 17 Mei - Standard Chartered Global Research menaikkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun ini kepada 7% daripada 6.2% sebelum ini.
Ini berdasarkan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang positif pada suku pertama 2022 dengan berkembang 5%, seperti diumumkan Bank Negara Malaysia (BNM), Jumaat lalu.
Pertumbuhan pada suku itu disokong terutamanya oleh permintaan dalam negeri yang bertambah baik apabila kegiatan ekonomi terus kembali normal dengan pelonggaran langkah-langkah pembendungan.
Menurut firma penyelidikan tersebut, dengan pertumbuhan 5%, ia menjadikan KDNK 3.3% melebihi paras sebelum COVID (suku keempat 2019) pada asas pelarasan musim.
Dari segi perbelanjaan, katanya, semua komponen mencatat pengembangan suku ke suku, dengan setakat suku pertama, hanya pelaburan dan perdagangan dalam perkhidmatan kekal di bawah paras sebelum pandemik.
"Mengikut industri, sebanyak 18 daripada 21 sektor berkembang bagi suku ke suku dan kami menganggarkan 74% daripada ekonomi melebihi paras sebelum COVID-19.
"Meskipun kami menaikkan unjuran KDNK 2022 setelah mengambil kira pertumbuhan suku pertama yang kukuh daripada jangkaan, tetapi kami mengurangkan unjuran 2023 kepada 4.2% (daripada 4.5% sebelum ini) ekoran kesan asas yang lebih tinggi," katanya dalam nota kajiannya hari ini.
Baca : BNM : Ekonomi suku pertama 2022 berkembang 5%, jangka prospek 2022 lebih baik
Mengulas lebih lanjut, Standard Chartered Global Research berkata, pasaran buruh juga terus pulih, dengan pertumbuhan guna tenaga yang kukuh dan keadaan lebih ketat membawa kepada pertumbuhan gaji yang lebih tinggi.
"Pemulihan ekonomi dan pasaran buruh mewajarkan langkah BNM minggu ini untuk memulakan proses menormalkan dasar monetari daripada tetapan kecemasan, yang mana kami harapkan proses ini berterusan," tambahnya.
Walaupun tekanan inflasi tidak ketara (diperhatikan bahawa inflasi yang rendah adalah disebabkan langkah kerajaan), namun, katanya, kadar dasar semasa yang rendah dilihat tidak sepadan dengan pemulihan ekonomi.
Ini kerana katanya, bank pusat berkemungkinan mahu mengambil kesempatan daripada pertumbuhan yang kukuh untuk membina ruang dasar.
"Panduan dasar mencadangkan kenaikan kadar dasar semalaman (OPR) akan berlaku lagi. Oleh itu, kami mengekalkan pandangan bahawa BNM akan menaikkan 75 mata atas pada tahun ini.
"Dalam hal ini, kami menjangkakan 2 lagi kenaikan pada Julai dan September, menjadikan OPR kepada 2.5% menjelang akhir tahun ini," jelasnya,
Minggu lalu, BNM menaikkan OPR kepada 2% setelah mengekalkan paras rendah kadar faedah itu pada 1.75% sejak Julai 2020 bagi memberi sokongan kepada ekonomi yang terjejas akibat pandemik COVID-19. - DagangNews.com








