KUALA LUMPUR 3 Mac - Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mengagihkan sebanyak RM7.7 juta zakat wakalah korporat kepada golongan asnaf yang layak sejak 1 Januari hingga 31 Disember 2022.
SSM dalam kenyataan berkata, pihaknya juga telah menyampaikan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) berjumlah RM864,685 pada tempoh yang sama.
Ketua Pegawai Eksekutif SSM, Datuk Nor Azimah Abdul Aziz berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap nasib golongan terpinggir serta kurang berkemampuan.
"SSM beriltizam untuk menyantuni atau membantu golongan memerlukan ini demi memelihara kebajikan serta kesejahteraan masyarakat," katanya.
Terdahulu, SSM menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan dan barangan makanan kepada 117 pelajar Orang Asli dari empat buah sekolah sekitar Hulu Langat dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Pertubuhan Kebajikan Jasa Murni Malaysia.
Sumbangan itu bertujuan membantu meringankan beban pelajar-pelajar terbabit semasa fasa pembukaan semula sesi persekolahan 2023.
Pada majlis tersebut, SSM turut menyampaikan sumbangan zakat wakalah korporat dan CSR bernilai RM32,175 meliputi peralatan persekolahan seperti beg, alat tulis, pakaian seragam dan kasut sekolah.


Di samping itu, pihaknya juga menyumbang Bakul Rahmah seperti beras, minyak masak, gula, sardin, bihun, tepung dan biskut bernilai RM10,062 kepada 117 penerima masyarakat Orang Asli, termasuk ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU). - DagangNews.com








