KUALA LUMPUR 6 Mac - Solarvest Holdings Berhad dilantik oleh syarikat milik kerajaan Filipina, National Power Corporation (NPC) sebagai penyedia penyelesaian kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) untuk projek pembangunan loji solar fotovoltaik (PV) di negara itu.
Di dalam kenyataan bersama Solarvest dan NPC, Solarvest memaklumkan ia membentuk konsortium dengan pembekal penyelesaian tenaga solar Filipina, Edward Marcs Philippines, Inc. untuk projek pembinaan grid loji PV 1 MWp (megawatt peak) tersebut di General Santos, Pulau Mindanao di bawah program Rural Network Solar NPC.
Melalui South Cotabato II Electric Cooperative, Inc. (SOCOTECO II), projek tersebut ditadbir oleh Bank Dunia dan dibiayai oleh Kesatuan Eropah (EU) di bawah Access to Sustainable Energy in the Philippines Programme (ASEP) untuk sistem tenaga pada harga berpatutan, bersih dan tahan bencana kepada komuniti terpencil di Filipina.
Mengulas berkenaan projek tersebut, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata projek tersebut adalah langkah penting bagi syarikat tersebut untuk memacu agenda pertumbuhan serantaunya dan berkembang di dalam pasaran Filipina.
“Selaras dengan usaha NPC untuk menyediakan bekalan tenaga ke kawasan terpencil seperti Luzon, Sultan Kudarat dan Cotabato, kami yakin kepakaran kami sebagai rakan kongsi penjanaan semula mampu meningkatkan kualiti hidup dengan menyediakan akses kepada elektrik mesra alam,” tambahnya yang gembira dengan kerjasama tersebut.
Sementara itu, Naib Presiden Perkhidmatan Kejuruteraan Tenaga NPC, Atty. Rogel T. Teves berkata kerjasama tersebut adalah penting bagi NPC mencapai kemajuan dalam memenuhi sasaran elektrifikasi luar bandar Filipina melalui tenaga boleh diperbaharui (RE).
“Menerusi penjanaan tenaga di kawasan terpencil, tidak terdapat akses elektrik dan kepulauan di negara ini, kami percaya inisiatif ini akan membawa kesan langsung kepada pendapatan rakyat dengan tenaga yang bersih dan mampan.
“Melangkaui penyediaan akses elektrik untuk komuniti yang kurang mendapat perkhidmatan, kami berusaha untuk mengembangkan penjanaan tenaga dan menggalakkan kecekapan tenaga melalui program RNS untuk terus memacu pertumbuhan sosial dan ekonomi di Filipina,” tambahnya.
Solarvest merupakan pakar tenaga bersih berpangkalan di Malaysia yang mempunyai kehadiran di seluruh Asia-Pasifik bagi menyediakan penyelesaian sistem PV sehenti dan kini, meneroka penyelesaian tenaga bersih yang lain seperti kecekapan tenaga, mobiliti rendah karbon dan sijil tenaga boleh diperbaharui. -DagangNews.com








