KUALA LUMPUR 20 Julai - Agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), SME Corp. Malaysia bekerjasama dengan MIDF sebagai agensi pelaksana, telah mengagihkan pinjaman di bawah Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat bencana alam di seluruh negara.
Dana itu menyediakan pembiayaan pinjaman modal kerja tanpa faedah serta moratorium selama setahun kepada semua PKS.
Di dalam Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 yang diadakan baru-baru ini di Uptown Shah Alam, Menteri KUSKOP, Tan Sri Noh Omar memaklumkan, pelbagai bantuan disediakan KUSKOP serta agensi kepada usahawan yang ditimpa musibah.
Beliau mengulas Program SMEEF adalah khusus bagi membantu PKS, manakala Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) oleh TEKUN Nasional adalah untuk membantu usahawan informal dan mikro.
Katanya, bagi SPIM usahawan informal dan mikro boleh memohon geran bernilai RM3,000 untuk setiap usahawan yang tidak perlu dibayar balik.
Selain itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy berkata, sehingga 12 Julai 2022, program SMEEF 2.0 ini telah menerima sebanyak 1,131 permohonan dari seluruh negara berjumlah RM109,324,699 yang telahpun melebihi peruntukan dana sebanyak RM100 juta.
"Dana kecemasan untuk mangsa banjir syarikat bersaiz kecil dan sederhana diberi pinjaman tanpa faedah (0%) antara RM50,000 sehingga RM100,000 berserta moratorium selama 12 bulan, dapat digunakan untuk membantu PKS bangkit semula serta memulihkan kembali perniagaan Keluarga Usahawan yang terkesan dengan bencana banjir ini secepat mungkin," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Rizal, sehingga kini hampir RM97 juta telah diluluskan dan disalur kepada PKS yang terjejas banjir di seluruh negara.
"Daripada jumlah ini 83% adalah merupakan PKS yang terjejas di negeri Selangor, diikuti dengan Pahang sebanyak 7.6% dan Kelantan sebanyak 3.5%," katanya.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani pula berkata, komuniti perniagaan PKS, khususnya perniagaan kecil terjejas teruk akibat pandemik COVID-19 dan malangnya ada juga terjejas akibat banjir yang telah menyebabkan keadaan lebih sukar.

"Skim SMEEF 2.0 adalah untuk membantu perniagaan PKS yang terkesan ini dan dengan kerjasama SME Corp. Malaysia kami telah dapat memendekkan proses permohonan dan mempercepatkan pengeluaran dana.
"Selain itu, MIDF juga menawarkan Dana Pengukuhan PKS (SMERF) untuk PKS yang telah terjejas teruk oleh perintah kawalan pergerakan COVID-19,” katanya. - DagangNews.com








