KUALA LUMPUR 12 Julai - SME Bank telah menambah baik agenda Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) dalam operasi perniagaannya sejak pembentukan Pelan Hala Tuju Kemampanan Tiga Tahun 2021-2023 dan kejayaan menerbitkan Sukuk Kelestarian pertama bernilai RM500 juta pada tahun 2021.
Presiden Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank, Dr Aria Putera Ismail berkata, pelan hala tuju itu menggariskan objektif jangka pendek dan matlamat jangka panjang SME Bank serta komitmen untuk memasukkan DNA ESG ke dalam operasi perniagaannya.
Beliau berkata, ia dibahagikan kepada tiga fasa iaitu Permulaan ESG & Memperkemas Fokus Perniagaan, Pelaksanaan ESG & Memperkemas Fokus Bukan Perniagaan serta Adaptasi ESG & Peningkatan Berterusan menuju Kemampanan.
“Memasuki tahun kedua pelaksanaan pelan hala tuju ini, tumpuan dialihkan untuk menginstitusikan budaya ESG di seluruh bank dan mewujudkan kesedaran ESG secara maksimum dengan pelanggan dan menetapkan Rangka Kerja Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) yang komprehensif dan tersendiri.
"Pembangunan Rangka Kerja SDG ini melibatkan beberapa perkara penting seperti penilaian materialiti antara pihak berkepentingan SME Bank, mengenal pasti jurang dan menyelaraskan strategi SME Bank dengan matlamat ESG," katanya.
Ketua Pengurusan Kemampanan dan Strategi SME Bank, Zakiah Mat Esa berkata, secara keseluruhannya, perjalanan kemampanan SME Bank adalah berdasarkan tiga tonggak utama iaitu Perbankan Bertanggungjawab, Amalan Perniagaan Bertanggungjawab dan Mencipta Impak Sosial.
"Selain itu, agenda kemampanan SME Bank juga selaras dengan Rangka Kerja Pengukuran Prestasi (PMF) Bank Negara Malaysia. Pada dasarnya, terma ESG dan Kemampanan diguna silih berganti dan memberi erti yang sama.
"Pada masa ini, kami sedang menjalankan kaji selidik mengenai isu materialiti dengan pihak berkepentingan terpilih termasuklah pelanggan, kementerian berkaitan, agensi, pekerja, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti tempatan, dewan perniagaan, persatuan, vendor dan pelabur.
"Hasil kaji selidik akan membolehkan bank mengenal pasti isu penting untuk pihak berkepentingan kami dan dari situ, Bank akan merumuskan strategi bersesuaian untuk mencapai matlamat kemampanan selaras SDG Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya.
Antara aktiviti-aktiviti ESG yang telah diadakan ialah Kempen Derma Darah yang mana sebanyak 56 beg darah telah berjaya didermakan staf bank dan orang awam di Menara SME Bank pada 17 Jun 2022.
SME Bank dan Kelab Sukan dan Rekreasi SME Bank juga telah berkolaborasi bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pulau Pinang dan menanam 1,300 batang pokok paya bakau Hutan Simpan Balik Pulau pada 25 Jun 2022.
Untuk terbitan Sukuk Kelestarian, SME Bank merupakan Institusi Kewangan Pembangunan (DFI) pertama menerbitkan Sukuk ini dan telah diiktiraf di peringkat tempatan dan antarabangsa.
Sukuk Kelestarian SME Bank telah menerima pelbagai anugerah; antaranya “Anugerah Sukuk SRI Hijau ASEAN Terbaik” dan “Sukuk SRI Terbaik” oleh Alpha South East Asia, the “Anugerah Sukuk Kemampanan Terbaik” oleh The Asset Triple A dan “SRI & ESG Deal of the Year Awards” oleh Islamic Finance News. - DagangNews.com







