KUALA LUMPUR 23 Jun - Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Bhd (SME Bank) menyerahkan replika cek bernilai RM847,407 kepada lima usahawan sempena Program Jelajah Usahawan dan Koperasi Madani (PJUKM) KUSKOP @ NS Fest yang diadakan di Nilai, Negeri Sembilan.
Ketua Pegawai Strategi Korporat Kumpulan SME Bank, Datuk Dr Mohammad Hardee Ibrahim berkata, kelima-lima usahawan ini merupakan peserta bagi dua program intervensi berstruktur SME Bank iaitu Business Exports Program (BEP) dan Program Pembangunan Kapasiti dan Keupayaan Vendor (PPKV).
Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) telah melantik SME Bank sebagai agensi pelaksana untuk kedua-dua inisiatif pembangunan usahawan ini.
Katanya, BEP yang bertujuan untuk membimbing syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) agar bersedia untuk meneroka pasaran eksport.
"Tiga buah syarikat di bawah Program BEP telah menerima dana fasilitasi bernilai RM200,000 setiap satu sebagai sokongan monetari untuk mempersiapkan mereka menjadi jaguh serantau di persada antarabangsa. Ketiga-tiga syarikat ini adalah dari industri pembuatan dan penyedia perkhidmatan," katanya dalam kenyataan media di sini.
Terdahulu, majlis penyerahan tersebut disampaikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick, yang turut dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Dua buah syarikat lagi yang masing-masing menerima dana fasilitasi bernilai RM200,000 dan RM47,407 merupakan vendor Bumiputera yang berdaftar dengan syarikat anchor di bawah Program Pembangunan Kapasiti Vendor, inisiatif seliaan KUSKOP.
Mereka telah terpilih untuk menyertai sesi bimbingan bagi memperkasa kapasiti dan keupayaan syarikat vendor dalam membekalkan produk serta perkhidmatan yang bermutu tinggi dan kompetitif di pasaran.
Sewaktu program jelajah ini berlangsung, anak syarikat SME Bank, Centre for Entrepreneur Development and Research Sdn Bhd (CEDAR) juga telah menganjurkan sesi taklimat Program Bantuan Pematuhan Pensijilan Halal untuk 40 buah syarikat sekitar Negeri Sembilan dan Selangor.
Hardee menyatakan bahawa modul program yang lengkap ini akan mendedahkan usahawan tentang konsep dan kepentingan sijil halal, prosedur pensijilan serta membantu mereka menyediakan dokumentasi bagi permohonan pensijilan halal.
Program kerjasama antara KUSKOP dengan CEDAR ini menyasarkan agar dapat memanfaatkan 120 buah syarikat PKS tentang kesedaran halal dan 40 buah syarikat untuk memohon pensijilan halal.
Dengan adanya pensijilan halal ini, PKS boleh memanfaatkan segmen pasaran yang lebih luas terutamanya ketika permintaan pengguna yang meningkat untuk produk dan perkhidmatan halal.
Pensijilan halal ini juga berfungsi sebagai akses untuk mengembangkan pangkalan pelanggan dan meneroka peluang perniagaan baharu di dalam mahupun di luar negara. - DagangNews.com








