Skuter Zontes 350 Series baharu berharga RM23,000 dilancar di Malaysia  | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Skuter Zontes 350 Series baharu berharga RM23,000 dilancar di Malaysia 

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Ogos - Zontes Distribution Sdn Bhd, syarikat di bawah Eurotech Wheel Distribution Sdn Bhd yang merupakan pengimport dan pengedar rasmi motosikal Zontes di Malaysia, bakal menggegarkan pasaran skuter di Malaysia dengan pelancaran model Zontes 350 Series baharu.

 

Skuter 350 Series baharu dilengkapi teknologi terkini dan pelbagai ciri premium yang lazimnya hanya terdapat pada motosikal yang lebih berkuasa, tetapi pada harga yang menarik dan berpatutan.

 

Pengurus Pemasaran Zontes Distribution, Joey Chia berkata, pihaknya berasa gembira kerana dapat membawakan model skuter pertama daripada Zontes, 350 Series premium yang telah dilancarkan dan mendapat sambutan meluas di Eropah dan pasaran Asia yang lain. 

 

"Kami percaya bahawa peminat skuter di sini juga akan bersetuju bahawa skuter ini mungkin merupakan yang paling berbaloi di pasaran, yang mana kedua-dua varian di pasaran Malaysia didatangkan dengan reka bentuk mengagumkan, spesifikasi yang terbaik serta kualiti dan kemasan yang unggul," katanya dalam kenyataan media di sini.

 

Chia berkata, pihaknya percaya bahawa skuter Zontes 350 Series baharu boleh membantu mendapatkan bahagian pasaran yang lebih besar dalam pasaran skuter yang kian berkembang di sini. 

 

"Rancangan kami ialah untuk meluaskan rangkaian jualan dan perkhidmatan selepas jualan Zontes serta mempunyai kehadiran di setiap negeri supaya lebih ramai lagi pengguna di Malaysia dapat menikmati pengalaman penunggangan premium tanpa perlu megeluarkan belanja yang besar," katanya.

 

Di Malaysia, Zontes 350 Series boleh didapati dalam dua varian – 350D (RM23,800) dan 350E (RM25,800). 

 

 

zontes

 

 

Kedua-duanya menggunakan enjin silinder tunggal 349cc yang menggunakan sistem penyejukan cecair dan pancitan bahan api yang sama, dengan 36hp dan tork 38Nm yang dipadankan dengan kotak gear CVT automatik. 

 

Skuter tersebut didatangkan dengan waranti am selama dua tahun atau 20,000 kilometer (km) dan sehingga tiga tahun atau 30,000 km bagi komponen enjin, tertakluk kepada terma dan syarat.

 

Direka untuk mobiliti di bandar, model 350D yang lebih ‘slim’ dan ringan ini mempunyai berat 190 kilogram (kg) dan merupakan antara yang mempunyai nisbah kuasa kepada berat yang tertinggi dalam kelasnya. 

 

Dilengkapi dengan tangki bahan api 12 liter yang dianggarkan dapat berjalan sejauh 400 km dalam mod ECO, pengendaliannya yang lebih tangkas, suspensi yang selesa, pikap yang bagus dan ekonomi bahan api menjadikan varian ini begitu sesuai untuk penggunaan harian di bandar. 

 

 

zontes

 

 

Boleh didapati dalam warna perak atau hitam, 350D merupakan pilihan yang bijak bagi penunggang peringkat pertengahan berusia antara 31 hingga 40 tahun, terutamanya mereka yang berhasrat untuk mendapatkan motosikal kedua.

 

Ciri yang membawa fungsi dan keselesaan yang terdapat pada kedua-dua varian 350D dan 350E termasuklah sistem kawalan tanpa kunci 3.0 untuk memudahkan ia dihidupkan, skrin berwarna TFT 6.7” dengan keupayaan pencerminan telefon bimbit, perisai angin yang boleh dilaraskan secara elektronik dan dua port pengecasan pantas 18W dengan penyambung jenis A dan C.

 

Ciri keselamatan yang terdapat pada kedua-dua varian termasuklah brek cakera depan dan belakang dengan angkup 4 omboh jenis jejari J Juan, ABS dwi saluran, Sistem Kawalan Cengkaman (TCS), Sistem Pemantauan Tekanan Tayar (TPMS) dan lampu LED OSRAM ultra terang.   

 

 

zon
Joey Chia ketika pelancaran skuter model Zontes 350 Series baharu, baru-baru ini.

 

 

Sempena pelancaran tersebut, Zontes menganjurkan Peraduan “Memorable Memories Together” dari 15 Ogos hingga 17 September 2023 bagi yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut mengenai skuter 350 Series. 

 

Orang ramai hanya perlu layari pautan yang diberikan, lengkapkan maklumat yang diperlukan dan log masuk ke laman Facebook Zontes Malaysia (https://www.facebook.com/ZontesMy) pada 3 petang, 18 September 2023 untuk mengetahui sama ada anda merupakan pemenangnya. - DagangNews.com