KUALA LUMPUR 28 Julai - Bilangan siswazah menganggur berkurangan kepada 4.1% pada 2021, menurut data yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan, semalam.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, kadar pengangguran siswazah berkurang kepada 4.1% manakala sebanyak 33.9% siswazah dalam guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran.
Beliau yang memetik Statistik Siswazah 2021 berkata, bilangan graduan di Malaysia ialah 5.61 juta orang tahun lepas, yang mewakili 22.1% daripada penduduk negara yang bekerja dan berumur 15 tahun ke atas.
“Pada 2021, ekonomi Malaysia secara beransur memperoleh semula momentum ke arah pemulihan, dan seterusnya memupuk keadaan pasaran buruh yang lebih sihat pada tahun itu berbanding 2020.
"Sehubungan itu bilangan graduan yang bekerja meningkat 5% kepada 4.57 juta orang berbanding 4.35 juta pada 2020," katanya dalam kenyataan.
Data itu mendapati kira-kira dua pertiga (64.8%) diambil bekerja dalam kategori pekerjaan mahir.
Bagaimanapun, jumlah itu menurun sebanyak 1.2% berikutan pengurangan dalam kategori pengurus manakala dua lagi pekerjaan mahir iaitu profesional dan juruteknik serta profesional bersekutu, mencatatkan peningkatan dalam jumlah graduan yang bekerja.
Siswazah ditakrifkan sebagai individu yang mempunyai sijil tertinggi yang diperoleh daripada universiti, kolej, politeknik, badan yang diiktiraf atau setaraf dengannya, dengan tempoh pengajian sekurang-kurangnya dua tahun.
Mohd Uzir berkata, sebanyak 32.9% siswazah bekerja dalam pekerjaan separuh mahir sebahagian besarnya sebagai pekerja sokongan perkeranian (14.4%), diikuti pekerja perkhidmatan dan jualan (10.8%) dan pekerja kraf dan perdagangan yang berkaitan (4.2%) dan 2.3% telah diambil bekerja dalam kategori berkemahiran rendah.
Dalam pada itu, katanya, ketika negara memasuki tahun kedua mengharungi krisis kesihatan awam yang memerlukan pelaksanaan pelbagai sekatan sosial dan ekonomi, cabaran struktur pasaran buruh kekal seperti yang ditunjukkan oleh peningkatan pengangguran yang berterusan.
Menurutnya, dari perspektif sektor ekonomi 77.4% graduan bekerja dalam sektor perkhidmatan, diikuti 13.7% dalam sektor pembuatan dan 6% dalam sektor pembinaan.
Bilangan siswazah menganggur menurun 2.5% tahun lalu, selepas mencatatkan lonjakan dua angka sebanyak 22.5% pada 2020.
"Upah dan gaji yang lebih tinggi direkodkan untuk graduan pada 2021 berbanding tahun sebelumnya, dengan purata gaji dan upah bulanan meningkat 2.1% kepada RM4,582 berbanding 2020, sebanyak RM4,489," katanya. - DagangNews.com







