Sime Darby Property tingkatkan taraf hartanah mampan melalui pengiktirafan antarabangsa | DagangNews Skip to main content

Sime Darby Property tingkatkan taraf hartanah mampan melalui pengiktirafan antarabangsa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 26 Sept - Sime Darby Property Bhd terus meningkatkan taraf hartanah mampan dengan dua pengiktirafan utama di peringkat antarabangsa.

 

Cantara Residences milik syarikat menerima taraf emas bagi kategori ‘Residential New Construction’ daripada Panel Akreditasi Indeks Bangunan Hijau (GBI). 

 

GBI merupakan sistem penarafan komprehensif pertama Malaysia yang diiktiraf di peringkat global dan ditaksir mengikut piawaian global seperti World Green Building Council (WGBC).

 

Inisiatif mampan syarikat terus berkembang dengan Elmina Central Park di Bandar Elmina yang diiktiraf sebagai arboretum antarabangsa seperti yang disahkan oleh Program Akreditasi Arboretum ArbNet dan The Morton Arboretum. 

 

Taman seluas 121.4 hektar itu telah diakui sebagai ‘arboretum tahap II’ dengan kewujuduan minimum 100 spesis tumbuhan berkayu dan menyediakan perkhidmatan berguna kepada orang ramai menerusi pelbagai inisiatif pendidikan dan kesedaran.

 

Pengarah Urusan Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Azmir Merican berkata, pengiktirafan yang dicapai ini membuktikan komitmen syarikat dalam menurut piawaian kemampanan yang tinggi.

 

"Komitmen Sime Darby Property terhadap kemampanan telah menyokong matlamat kami untuk menjadi sebuah pemaju hartanah terkemuka negara. Kami kekal teguh untuk memacu langkah progresif dan lantang dalam mengekalkan kemampanan sebagai teras hartanah.

 

 

sime darby

 

 

"Sejajar dengan matlamat kami sebagai Force for Good, Sime Darby Property terus menekankan kemampanan sebagai ciri utama dalam setiap perkara yang kami lakukan. Kami juga bekerjasama dengan rakan kongsi yang mempunyai kepakaran yang tepat untuk menjaga dan memulihara alam sekitar, bermula dari pembangunan kami sendiri," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Akreditasi-akreditasi ini menambah lagi kepada kejayaan Cantara Residences dan Bandar Elmina. 

 

Cantara Residences, kediaman yang berorientasikan keluarga di perbandaran terkemuka Ara Damansara telah mencapai Anugerah Perak Dunia bagi kategori kediaman bertingkat sederhana rendah 2023, yang mana Bandar Elmina juga turut dinobatkan sebagai Anugerah Emas Dunia dalam kategori Pelan Induk.

 

 

sime darby

 

 

Sime Darby Property sedang merubah daripada sebuah pemaju hartanah 'pure-play' kepada sebuah syarikat hartanah dengan tumpuan sebagai pemaju utama, pembina komuniti serta pengurus pelaburan dan aset menjelang 2025. 

 

Selaras dengan matlamat syarikat sebagai Pengganda Nilai kepada Masyarakat, Perniagaan, Ekonomi dan Planet, usaha Sime Darby Property melangkaui pembangunan hartanah dan menitikberatkan komuniti yang mampan untuk generasi akan datang. - DagangNews.com