SilTerra perkenalkan teknologi baharu untuk pasaran litar bersepadu automotif | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SilTerra perkenalkan teknologi baharu untuk pasaran litar bersepadu automotif

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
[email protected]

 

KUALA LUMPUR 26 Ogos - SilTerra Malaysia Sdn Bhd mengumumkan teknologi baharu, 180nm Bipolar-CMOS-DMOS (BCD) yang disasarkan untuk aplikasi litar bersepadu (IC) automotif atau cip yang digunakan dalam kenderaan.

 

Teknologi proses gred automotif itu dijangka dapat memenuhi syarat untuk standard Gred Zero AEC-Q100, yang merupakan piawaian industri automotif yang menentukan produk dan perubahan cadangan syarat baharu serta prosedur.

 

BCD merupakan salah satu blok utama platform Teknologi Tenaga Pintar SilTerra yang dibangunkan untuk mengoptimumkan produk cekap tenaga berdasarkan teknologi proses matang yang terbukti, harta intelek dan alat reka bentuk. 

 

Pengerusi Eksekutif SilTerra, merangkap Pengarah Urusan Kumpulan Dagang NeXchange Berhad (DNeX) percaya bahawa pihaknya dapat menawarkan nilai tambahan yang signifikan buat sektor aplikasi IC automotif. 

 

“Kami teruja apabila SilTerra memperkenalkan proses gred automotif BCD untuk pasaran IC automotif. Setiap produk yang ditawarkan SilTerra dan teknologi yang kami gunakan adalah hasil daripada komitmen kami untuk memenuhi permintaan pasaran yang kian meningkat dan melebihi jangkaan pelanggan.

 

“Pemegang saham baharu SilTerra akan meneruskan usaha untuk mentransformasikan SilTerra kepada peneraju pasaran semikonduktor global yang bertaraf dunia dari segi kecemerlangan operasi dan kemajuan teknologi. 

 

“Kami juga akan mempergiatkan strategi kami seperti pengoptimuman kos, pengembangan produk campuran dan penambahbaikan kapasiti pengeluaran,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Teknologi tersebut kini telah memasuki fasa pengeluaran massa dan ini merupakan anjakan paradigma kedua dicapai syarikat selepas pengiktirafan IATF 16949:2016 Automotive Certification pada tahun 2018. - DagangNews.com