Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com
KUALA LUMPUR 17 Ogos - Dalam usaha meningkatkan komitmen memerangi COVID-19, Shopee mengumumkan penyertaannya dalam program vaksinasi sektor swasta agar kakitangannya mendapat vaksin sepenuhnya dan dilindungi daripada virus tersebut.
Keutamaan vaksinasi diberikan kepada petugas barisan hadapan daripada perkhidmatan logistiknya iaitu Shopee Express dan juga kakitangan yang bekerja di gudang memandangkan mereka menghadapi risiko tertinggi dan berkemungkinan besar paling banyak berinteraksi dengan para pembeli.
Mengulas mengenai inisiatif itu, Ketua Pegawai Operasi di Shopee, Terence Pang berkata, keselamatan kakitangan dan keselamatan para pengguna adalah keutamaan pihaknya terutamanya apabila wabak itu terus memberi kesan kepada kehidupan rakyat Malaysia.
"Kami berusaha untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan warga kerja kami dengan lebih baik dari segi melawan COVID-19 melalui inisiatif ini, dan pada masa yang sama menyumbang kepada matlamat negara untuk mencapai imuniti kelompok.
"Langkah ini juga merupakan sebahagian daripada jaminan Shopee kepada penggunanya dalam memberikan pengalaman membeli-belah atas talian yang lebih baik dan selamat dengan kebergantungan terhadap e-dagang yang semakin meningkat," katanya dalam satu kenyataan.
Inisiatif yang digerakkan itu bertepatan dengan musim beli-belah akhir tahun yang bakal tiba dan sentiasa menjadi tumpuan rakyat dan perniagaan di negara ini.
Tambah Pang, pihaknya ingin memainkan peranan demi membantu semua rakyat membeli belah ranpa rasa bimbang dan membantu perniagaan tempatan menjual dengan mudah dan yakin.
"9.9 menandakan bermulanya musim membeli-belah dan saya berharap agar dengan menjadikan aktiviti pembelian dan penjualan lebih selamat, kami dapat membawa senyuman kepada lebih ramai rakyat Malaysia," katanya lagi.
9.9 Hari Pembelian Hebat bakal berlangsung dari 20 Ogos hingga 9 September, turut membawakan pelbagai tawaran istimewa kepada semua pengguna.
Para pembeli boleh menikmati baucar Penghantaran Percuma dan baucar Pulangan Tunai Syling Shopee 99%, di mana kedua-duanya dapat dinikmati tanpa pembelanjaan minimum.
Paling menarik, para pengguna juga berpeluang memenangi sebuah Mercedes-Benz baharu dengan mengambil bahagian dalam permainan Main & Menang Mercedes-Benz dengan mengumpul tiket emas setiap hari. - DagangNews.com