KUALA LUMPUR 13 Dis - Shell plc menerusi anak syarikatnya, Sarawak Shell Bhd. akan menjual kepentingannya dalam dua kontrak perkongsian pengeluaran luar pesisir di Delta Baram pada harga AS$475 juta kepada Petroleum Sarawak Exploration & Production Sdn. Bhd.
Penjualan itu melibatkan kepentingan tidak dikendalikan sebanyak 40% dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Baram Delta EOR 2011 yang dipinda dan 50% dalam PSC SK 307.
Baki kepentingan dalam kedua-dua PSC itu dipegang oleh syarikat operator, Petronas Carigali Sdn. Bhd.
Pengarah Huluan Shell, Zoe Yujnovich berkata, keputusan tersebut adalah selaras dengan usaha kumpulan untuk memberi fokus kepada portfolionya.
"Malaysia kekal sebagai salah satu daripada lapan teras kedudukan huluan kami di seluruh dunia dan kami akan terus membantu memajukan pembangunan negara dengan melabur dalam minyak dan gas yang diperlukan hari ini, serta dalam peralihan kepada sistem tenaga rendah karbon," katanya dalam kenyataan di laman webnya hari ini.
Pengumuman itu dibuat selepas Shell pada Mac 2021 dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menjual kepentingannya dalam dua kontrak perkongsian pengeluaran, sebagai sebahagian daripada strategi untuk memfokuskan dan meningkatkan daya tahan serta daya saing dalam perniagaan huluan.
Pertimbangan asas untuk jualan pada AS$475 juta, dengan tambahan sehingga AS$50 juta dibayar antara 2023 hingga 2024 bergantung kepada harga komoditi.
Transaksi itu berkuat kuasa pada 1 Januari 2023 dan dijangka selesai pada awal 2023, tertakluk kepada penyempurnaan syarat termasuk, antara lain, kelulusan kawal selia yang akan diperoleh daripada Petronas, dan persetujuan daripada Petronas Carigali. - DagangNews.com








