KUALA LUMPUR 20 Nov - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi perlu berundur secara terhormat ekoran kekalahan teruk parti pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, beliau sependapat dengan pendirian Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berhubung kedudukan Ahmad Zahid.
Beliau turut meminta Ahmad Zahid membiarkan kepimpinan dan individu lain memimpin perbincangan membuat keputusan besar seterusnya untuk parti ini.
"Benar, ada konsep "collective responsibility" dalam sesuatu kegagalan. UMNO perlu mempertimbang apa langkah seterusnya dalam situasi tiada pihak mencapai angka 112 di PRU15.
"Benar, keputusan ini besar dan perlu dibuat oleh Majlis Kerja Tertinggi (MKT), bukan mana-mana individu atau kelompok sahaja. Tetapi, sebelum parti hendak bincang atau buat apa-apa keputusan, ada satu perkara yang perlu dilaksanakan dahulu.
"Saya sependapat dengan Menteri Besar Johor. Iaitu, tanpa mengurangkan hormat kepada beliau sebagai individu, saya berpandangan bahawa pemimpin nombor satu Presiden UMNO dan Pengerusi BN perlu memaparkan contoh dengan memimpin proses mengambil tanggungjawab kekalahan ini, berundur secara terhormat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Shahril turut mengumumkan peletakan jawatan selaku Ketua Penerangan UMNO.
"Saya menghargai peluang yang telah diberikan dan tidak akan melupakannya. Cuma, ini soal maslahat yang jauh lebih besar.
"Seperti ramai yang lain, saya kekal setia bersama UMNO. Perjuangan parti belum selesai. 'This is not the end'," katanya. - DagangNews.com








