Serba Dinamik teroka sistem pengurusan tempat letak kenderaan tanpa tunai di Melaka | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Serba Dinamik teroka sistem pengurusan tempat letak kenderaan tanpa tunai di Melaka

Sistem Qwik Pay yang dibangunkan anak syarikat Serba Dinamik akan memudahkan pengguna di Alor Gajah dan Jasin.

 

 


KUALA LUMPUR 25 Okt. - Serba Dinamik Holdings Bhd. menjalin kerjasama dengan Majlis Perbandaran Melaka di Alor Gajah dan Jasin untuk menyediakan kemudahan tempat letak kenderaan tanpa tunai. 

 

Kerjasama ini dilaksanakan melalui anak syarikat milik penuh Serba Dinamik, Serba Dinamik IT Solutions Sdn. Bhd. (SDIT) yang membangunkan dan menguruskan Qwik Pay, sistem tanpa tiket dan bayaran tanpa tunai yang terkini.   

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Serba Dinamik, Datuk Dr Mohd. Abdul Karim Abdullah berkata, sistem tersebut mampu menyelesaikan banyak isu yang dihadapi pengguna dan juga operator, antaranya, barisan panjang, kos tinggi bagi penyelenggaran mesin bayaran dan duit tunai tidak diterima oleh mesin. 

 

"Qwik Pay sebaliknya menyediakan sistem yang terkini kerana memudahkan laporan papan pemuka dan transaksi masa nyata," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sistem ini berfungsi dengan mengeluarkan kod QR (Tindak Balas Pantas) kepada pengguna untuk membuat pembayaran dalam beberapa saat, sekali gus menjadikan wang tunai sebagai perkara yang lapuk. 

 

Selain itu, penyelesaian ini membolehkan pengguna menggunakannya untuk membayar tempat letak kenderaan, pengangkutan, membeli-belah, antara lain menerusi telefon pintar.

 

Abdul Karim berkata, pembaca QR Qwik Pay juga diintegrasikan dengan sistem bayaran tempat letak kenderaan/peruncit yang menyediakan transaksi lancar dan mudah antara pemandu/pembeli dan destinasi pembeli seterusnya.

 

Dari perspektif pelanggan, Qwik Pay merupakan penyelesaian pintar bagi tempat letak kenderaan yang boleh mengurangkan kebergantungan kepada tenaga kerja, tiada kos pemasangan atau penyelenggaraan, penghapusan tamat tempoh integrasi pas bermusim. 

 

Sehubungan itu, beliau sangat berbesar hati dengan kerjasama antara kumpulan dan Majlis Perbandaran Melaka dengan menjangkakan lebih banyak boleh dilaksanakan dari segi pemantauan dan permohonan lesen perniagaan.

 

Setakat ini, Qwik Pay beroperasi di beberapa lokasi seperti bangunan UMNO Shah Alam, Anggerik Mall (Seksyen 14 Shah Alam), Hospital Putrajaya, Century Square (Cyberjaya), Pacific Place (Ara Damansara), Phileo Damansara 1 & Phileo Damansara 2 dan Damansara Intan.

 

Selain Melaka, Qwik Pay kini meroka peluang untuk berkembang di negeri lain antaranya, Pahang dan Perlis.

 

Di samping berfungsi sebagai sistem penyelesaian pintar tempat letak kenderaan, Qwik Pay juga mempunyai beberapa ciri lain seperti perkhidmatan e-dompet. - DagangNews.com