Serba Dinamik rancang miliki satelit sendiri dalam tempoh tiga tahun setengah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Serba Dinamik rancang miliki satelit sendiri dalam tempoh tiga tahun setengah

Oleh Durratul Ain Ahmad Fuad & Sharifah Pirdaus Syed Ali


 

KUALA LUMPUR 13 Dis - Serba Dinamik Holdings Bhd merancang untuk memiliki satelitnya sendiri dalam tempoh tiga tahun setengah ini, sebagai sebahagian daripada usaha penerokaan perniagaan syarikat ke dalam ruang angkasa komunikasi.

 

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah berkata, ini juga untuk membantu kerajaan menangani kesalinghubungan internet bagi penduduk di kawasan yang tidak mendapat dan kurang mendapat perkhidmatan.

 

“Sekiranya kita melihat kepada struktur geografi Malaysia itu sendiri, kita sudah mempunyai penggiat/pemain utama yang menyediakan kesalinghubungan gentian optik untuk kawasan bandar tetapi untuk kawasan yang tidak mendapat perkhidmatan dan kurang diberi perkhidmatan, ia juga perlu diberi perhatian.

 

"Kami berharap untuk mempunyai satelit sendiri, kerana ini akan melakarkan satu lagi kejayaan kepada pencapaian kami. Ia akan membantu kami menyediakan liputan untuk seluruh Malaysia serta negara jiran Indonesia, Filipina dan kepada segmen tertentu di Thailand," katanya kepada Bernama.

 

Beliau turut menyatakan kumpulan itu melalui ekonomi angkasa baharu atau program teknologi angkasa dikenali sebagai AKSA sedang meninjau untuk menghubungkan titik-titik dalam lingkungan aspek keupayaan teras teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seperti komponen 'Komunikasi' atau 'C'nya.

 

Dengan menyediakan perkhidmatan ICT menerusi kesalinghubungan internet menggunakan teknologi satelit, beliau berkata kumpulan itu mampu memantau kawasan yang kurang diberi perkhidmatan dan tidak diberi perkhidmatan di dalam negara, sekali gus menangani penyelesaian ke arah jurang digital.

 

Sebagai sebahagian daripada perencanaan holistiknya, kumpulan itu telah menubuhkan entiti berasingan untuk menerajui inisiatif itu yang akan digerakkan dan dipelopori oleh pakar dalam bidang  ini, yang  akan bekerjasama dengan rakan kongsi lain yang berkaitan, untuk mempunyai skop aplikasi yang lebih luas selain menyediakan penyelesaian yang lebih komprehensif kepada orang ramai, katanya.

 

Dalam meneruskan inisiatif satelit, kumpulan itu akan melaksanakannya dalam dua fasa, jelas beliau sambil menambah pada masa ini, kumpulan itu telah mendaftar dan memajak atau menyewa jalur lebar daripada penyedia antarabangsa sedia ada.


 

Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah
                Datuk Dr Mohd Abdul Karim Abdullah

 


"Ini hanya merupakan pelan jangka pendek untuk membantu kami  melancarkan perkhidmatan ini. Tetapi untuk pelan jangka panjang, kami sudah bekerjasama dengan SWISSto12, antara pengeluar satelit di Switzerland dan perbincangan telah berjalan lancar," katanya.

 

Menurut Mohd Abdul Karim, Serba Dinamik dijangka memperuntukkan kira-kira US$3 juta perbelanjaan modal (capex) pada suku kedua tahun depan untuk program AKSA.

 

Ini adalah gabungan dalam bentuk pembiayaan dari negara maju dan kerajaan di bawah program Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) serta dana dalaman sendiri.

 

"Ini sebahagiannya akan digunakan untuk melancarkan satelit sebagai sebahagian daripada pakej. Kami juga telah bekerjasama dengan kerajaan untuk mewujudkan pelabuhan angkasa atau perkampungan angkasa, dan ini adalah untuk pelan holistik masa depan supaya Malaysia boleh diposisikan sebagai antara negara yang mempunyai teknologi khusus ini,” katanya.

 

Mengenai penjualan jalur lebar, beliau berkata Serba Dinamik kini sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat telekomunikasi untuk menyediakan penyelesaian yang komprehensif kepada mereka kerana liputan sedia ada mereka terhad di kawasan bandar.

 

“Jika digabungkan dengan perkhidmatan kami, akan terdapatnya spektrum peruntukan serta skop pelanggan yang lebih luas yang boleh dimanfaatkan.

 

"Selain itu, kami turut meninjau institusi lain seperti program mudah alih TV yang mana kami boleh membantu menghubungkan perkhidmatan apabila mereka memerlukan kesalinghubungan internet di kawasan luar bandar.

 

“Ia adalah skop pelanggan yang agak luas dan kami sangat yakin perniagaan  yang kami  ceburi ini dapat membantu syarikat untuk mengekalkan dan menerajui bidang khusus ini dalam jangka masa panjang,” katanya.


 

serbadinamik
Ibu pejabat Kumpulan Serba Dinamik di Shah Alam, Selangor.

 


Mengenai prospek perniagaan aeroangkasanya, Serba Dinamik menyasarkan perniagaan itu menyumbang kira-kira 20 hingga 30% kepada aktiviti kumpulan dalam jangka panjang dan untuk tahun depan, ia dijangka menjana kira-kira dua hingga lima peratus kepada keseluruhan perniagaan kumpulan.

 

"Paling penting ialah penghasilan pekerjaan yang boleh diwujudkan daripada perniagaan itu. Kami telah memberi komitmen kepada kerajaan untuk mengeluarkan bahagian dan komponen tertentu teknologi angkasa lepas ini di Malaysia.

 

"Kami mengunjurkan 4,000 hingga 5,000 pekerjaan dalam tempoh lima tahun dari sekarang. Ini adalah teknologi bernilai tinggi -- tenaga kerja yang dihasilkan adalah tenaga kerja mahir, mereka akan mempunyai nilai komersial yang tinggi jika mereka mahu menawarkan perkhidmatan mereka ke luar negara," tambahnya. - DagangNews.com