Seramai 26% pekerja alami stres kewangan, majoriti akui beri kesan prestasi di pejabat - AKPK | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Seramai 26% pekerja alami stres kewangan, majoriti akui beri kesan prestasi di pejabat - AKPK

Kesejahteraan kewangan beri kesan kepada prestasi di tempat kerja - AKPK -Gambar NAIM AZIZ/DagangNews
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 3 Julai - Laporan Agensi Kaunseling dan Perkhidmatan Kredit (AKPK) berhubung kesejahteraan kewangan di tempat kerja mendapati sebanyak 26% pekerja dewasa di Malaysia mengalami stres kewangan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AKPK, Azaddin Ngah Tasir berkata, tahap stres tersebut adalah berbeza-beza mengikut individu dengan 65% daripada yang mengalaminya mengakui stres kewangan telah memberi kesan kepada prestasi pekerjaan mereka. 

 

"Bayangkan betapa banyak produktiviti yang kita mampu tingkatkan jika kita dapat mengurangkan angka 26% ini kepada peratusan yang lebih rendah," katanya hari ini.

 

Beliau berkata demikian Ketika berucap pada majlis pelancaran laporan yang diterbitkan Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Pendidikan Kewangan AKPK (FEWRC) bertajuk 'Dari 9 hingga 5: Melihat Kesejahteraan Kewangan Pekerja di Tempat Kerja'. 

 

Laporan penyelidikan itu dilancarkan oleh Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia (BNM) Kuala Lumpur.

 

akpk1
Infografik AKPK

 

Menurut laporan AKPK, 70% pekerja dengan kesejahteraan kewangan rendah adalah pekerja yang kurang berprestasi manakala 78% dengan kesejahteraan kewangan tinggi mempunyai produktiviti melebihi jangkaan.

 

Laporan itu juga menekankan hubungan antara kesejahteraan kewangan dan kesetiaan pekerja.

 

Azaddin menyatakan bahawa 91% pekerja dengan kesejahteraan kewangan tinggi setia kepada syarikat mereka, berbanding dengan 89% yang mempunyai kesejahteraan kewangan yang buruk dan sedang mencari pekerjaan baru.

 

"Kesejahteraan kewangan menggalakkan kesetiaan dan kestabilan dalam tenaga kerja.

 

"Wang tidak dapat membeli kesetiaan, tetapi kesejahteraan kewangan akan melakukannya, kerana kedua-duanya berkait rapat. Dan, dengan kesejahteraan kewangan, kami maksudkan pengetahuan dan kemahiran untuk menguruskan sumber yang ada, seperti wang dan pembiayaan, untuk kebaikan seseorang," jelasnya.

 

Dalam pada itu, katanya, walaupun manfaat-manfaat tersebut, terdapat jurang dalam pendidikan kewangan. 

 

"Walaupun 74% dewasa bekerja Malaysia menyatakan minat dalam kursus-kursus kewangan, hanya 48% syarikat yang menawarkan program-program sedemikian," katanya.

 

Sehubungan itu, Azaddin menggesa organisasi untuk mengintegrasikan kesejahteraan kewangan ke dalam pelan produktiviti mereka.

 

Berdasar laporan tersebut yang dimuat naik di laman web AKPK, seramai 900 individu dewasa bekerja di Malaysia telah terlibat dalam kaji selidik berkenaan.

 

Mereka datang dari pelbagai negeri dengan kumpulan pendepatan berbea-beza merangkumi pendapatan bawah RM1,500 hingga melebihi RM10,000. - DagangNews.com