Seramai 2,356 Sahabat Usahawan AIM Selangor, Kuala Lumpur terima Bantuan Banjir Keluarga Malaysia | DagangNews Skip to main content

Seramai 2,356 Sahabat Usahawan AIM Selangor, Kuala Lumpur terima Bantuan Banjir Keluarga Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Seramai 2,356 Sahabat Usahawan Amanah Ikhtiar (AIM) Selangor dan Kuala Lumpur menerima geran khas Bantuan Banjir Keluarga Malaysia (BBKM) berjumlah RM7,068,000.

 

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, geran itu bertujuan membantu usahawan mikro bangkit dalam perniagaan dan pada masa sama kementerian akan berbincang dengan Kementerian Sumber Manusia mengenai pelansanaan gaji minimum RM1,500 bermula 1 Mei 2022. 

 

“Jualan gerai pendapatan tidak tinggi, bagaimana mereka nak membayar gaji minimum RM1,500 dan dianggarkan hampir 70% usahawan mikro yang terjejas teruk akibat banjir dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. 

 

“Selain bantuan banjir ini, saya berharap kerajaan dapat mempertimbangkan semula pelaksanaan gaji minimum bagi pekerja usahawa mikro," katanya pada Majlis Penyerahan Geran Khas Bantuan Banjir Sahabat Usahawan AIM di Shah Alam Convention Centre (SACC), hari ini.

 

Majlis berkenaan diadakan di empat lokasi serentak dengan 921 penerima di SACC manakala 445 lagi penerima di Dewan Puchong Utama yang disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Puchong, Datuk Satim Diman.

 

Seramai 586 penerima lagi berada di Dewan Umno Kuala Selangor disampaikan oleh Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Kuala Selangor, Datuk Jahaya Ibrahim dan 404 penerima lagi berada di Dewan Sri Jugra dan ia disampaikan Naib Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Kuala Langat, Datuk Zurihan Yusop.

 

Penyaluran geran itu menjadi tanda keprihatinan kerajaan yang memperuntukan sebanyak RM50 juta kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi dengan bantuan itu disalurkan kepada usahawan terjejas menerusi TEKUN Nasional.


 

noh omar

 

noh omar

 

noh omar
Tan Sri Noh Omar bersama Mohamed Shamir Abdul Aziz berbual dengan seorang penerima Geran Khas Bantuan Banjir Sahabat Usahawan AIM di Shah Alam hari ini.


 

Sementara itu, Pengarah Urusan AIM, Mohamed Shamir Abdul Aziz berkata, pihaknya amat menghargai usaha pihak kementerian dalam memperjuangkan nasib Sahabat Usahawan AIM yang terkesan.

 

Beliau berkata, penerima BBKM daripada Sahabat Usahawan AIM majoritinya terdiri daripada peniaga gerai dan penjaja tepi jalan yang mengalami kemusnahan total dengan premis mereka dihanyutkan banjir.

 

"Secara keseluruhan seramai 8,859 Sahabat Usahawan AIM yang terjejas akibat banjir dan peruntukan yang akan disalurkan khusus untuk mereka sahaja adalah sebanyak RM23.1 juta," katanya. - DagangNews.com