Semak status kad Touch ‘n Go sebelum balik kampung - PLUS | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semak status kad Touch ‘n Go sebelum balik kampung - PLUS

Gambar Bernama
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

PETALING JAYA 29 April - PLUS Malaysia Bhd (PLUS) menasihatkan semua pelanggan lebuh rayanya untuk menyemak status kad Touch ‘n Go mereka di http://tngportal.touchngo.com.my/tngPortal/login sebelum perjalanan pulang ke kampung pada musim perayaan ini. 

 

Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, pelanggan lebuh raya tidak dapat melepasi plaza tol jika mempunyai status kad yang tidak aktif atau tamat tempoh yang mana ia boleh mengakibatkan kesesakan lalu lintas di plaza tol terlibat. 

 

“Kami menasihatkan pelanggan kami yang mempunyai kad Touch ‘n Go yang tidak aktif atau tamat tempoh untuk segera mendapatkan kad yang baharu daripada peruncit dan ejen jualan sah Touch ‘n Go di seluruh negara," katanya dalam satu kenyataan.

 

Memandangkan pelanggan lebuh raya mungkin tidak berpeluang melakukan perjalanan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2020, kad Touch 'n Go tidak lagi aktif apabila tiada transaksi tol dibuat dalam tempoh 12 bulan berturut-turut.

 

Sebagai alternatif, mereka boleh menggunakan MyKad mereka yang turut dilengkapi dengan cip Touch ‘n Go dan boleh ditambah nilai untuk kegunaan di lebuh raya. 

 

Begitu juga ahli kad kesetiaan Watsons yang juga dilengkapi dengan cip Touch ‘n Go, boleh digunakan di plaza tol ketika pulang ke kampung. 

 

Bagi kemudahan untuk menambah nilai Touch 'n Go, PLUS telah menyediakan pusat tambah nilai di R&R terpilih, mesin ATM dan kedai serbaneka di sepanjang lebuh raya PLUS, termasuk 67 kiosk layan diri (SSK) di plaza tol terpilih. 

 

Sebagai tambahan, terdapat 22 kaunter Touch ‘n Go di stesen minyak terpilih di sepanjang lebuhraya PLUS yang membolehkan mereka membuat tambah nilai tanpa caj. 

 

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan tambah nilai Touch ‘n Go, sila hubungi Touch ‘n Go Careline di [email protected] atau layari www.touchngo.com.my. - DagangNews.com