KUALA LUMPUR 7 Mac - Country Heights Holdings Berhad (CHHB) melaporkan kerugian bersih RM96.24 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2023 (4QFY23) berbanding rugi bersih RM95.47 juta pada setahun sebelumnya.
Kerugian bagi suku berakhir 31 Disember 2023 disebabkan terutamanya oleh kerugian kemerosotan nilai pada jumlah terhutang daripada Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd kepada CHHB Group berjumlah RM72.7 juta.
Ia dianggap sebagai pelupusan kerugian Mines Waterfront Business Park Sdn Bhd berjumlah RM15.2 juta, katanya dalam pemakluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
Sementara itu, bagi suku yang sama, pendapatan Country Heights menyusut kepada RM13.36 juta berbanding RM14.57 juta pada 4QFY22.
Laporan kewangan itu dibuat selepas tarikh akhir pengumuman disebabkan memerlukan masa untuk mengatasi kekeliruan perakaunan yang melibatkan anak syarikatnya, Mines Waterfront Business Park.
Syarikat pemaju hartanah itu pada 1 Mac lalu memaklumkan ia telah terlepas tarikh akhir pengumuman seperti yang dikehendaki oleh Bursa Malaysia buat pertama kali dalam tempoh 40 tahun.
Bagi keseluruhan tahun kewangan 2023 (FY23), Country Heights melaporkan kerugian bersih RM108.44 juta berbanding RM107.59 juta ada FY22.
Dalam tahun kewangan 2023 juga, pendapatan Country Heights berjumlah RM51.08 juta daripada RM46.33 juta pada tahun sebelumnya.
Menerusi pemakluman itu, Country Heights membangkitkan landskap kewangan yang sedia mencabar daripada kesan pandemik COVID-19.
"Kumpulan mengalami kerugian akibat pembatalan dan penangguhan tempahan serta acara untuk baki tahun dan ini telah memaksa beberapa perubahan drastik dalam operasi yang sedang berjalan," katanya sambil menambah bahawa prestasi kumpulan dijangka bertambah baik selepas pelaksanaan beberapa perkara mengikut segmen perniagaan.
Ini termasuk pembinaan projek hartanah baru di Cyberjaya di samping membangunkan hab kesihatan dan kesejahteraan antarabangsa di sekitar Mines.- DagangNews.com








