KUALA LUMPUR 6 April - Prospek sektor sarung tangan getah yang masih suram dibelenggu pelbagai faktor terutama harga jualan purata (ASP) yang kurang menarik, mendorong Kenanga Research mengekalkan pandangan 'neutral' terhadap sektor tersebut.
Firma itu berkata, berdasarkan laporan kewangan lalu, pendapatan syarikat pengeluar sarung tangan getah masih belum menunjukkan prestasi yang baik dengan ASP masih berlegar melebihi paras sebelum pandemik COVID-19.
Berdasarkan pemerhatiannya, pemain industri menjangkakan ASP akan menurun sebelum meningkat semula dalam tempoh 1 atau 2 suku akan datang dengan ASP lateks yang lebih tinggi pada Mac lalu berikutan harga bahan mentah yang lebih tinggi dan lebihan bekalan dalam tempoh 6 hingga 9 bulan lalu.
Katanya, pengeksport sarung tangan getah juga boleh terjejas dengan cabaran logistik disebabkan kekurangan kontena perkapalan global yang tidak mungkin berkurangan dalam tempoh 2 suku akan datang.
"Selain itu, sesetengah pemain industri pula menjangkakan jumlah jualan yang lebih baik memandangkan pelanggan bersedia untuk memenuhi semula bekalan setelah mengambil kira ASP yang lebih stabil dan tahap stok yang lebih normal.
"Pada masa sama, berikutan sekatan yang dikenakan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS), Top Glove Corp. Bhd. berupaya memulihkan kembali jualannya ke negara tersebut sebanyak 80%.
"Kami juga menjangkakan margin pada suku berikutnya akan terjejas kerana kos bahan mentah tidak diselaraskan seperti kejatuhan ASP yang cepat disebabkan tekanan persaingan, justeru, pendapatan boleh menjadi lebih rendah secara berurutan bergantung kepada mekanisme pelepasan kos," katanya dalam nota kajian bertarikh 5 April 2022.
Namun, menurutnya, aktiviti mengumpul stok yang akan meningkat dijangka merangsang permintaan, selepas pandemik COVID-19.
Kos pengeluaran bagi pemain industri dijangka terjejas sebanyak 3% ekoran pelaksanaan gaji minimum sebanyak RM1,500 daripada RM1,200 sebulan sebelum itu.
Berdasarkan pengiraannya, pendapatan bersih syarikat pengeluar sarung tangan getah boleh dikurangkan dengan kenaikan ASP sebanyak 0.2%.
Dalam kalangan syarikat pengeluar sarung tangan getah di bawah liputannya, Kenanga Research mengekalkan saranan 'outperform' terhadap Hartalega Holdings Bhd. dengan harga sasaran (TP) RM7.
Bagaimanapun, cukai tambahan atau Cukai Makmur dengan kadar sebanyak RM300 hingga RM400 juta akan menjejaskan hasilnya pada suku keempat.
Hasil Supermax Holdings Corp. Bhd. bagi suku berikutnya pula dijangka terjejas akibat sekatan yang dikenakan CBP AS, normalisasi ASP yang lebih cepat daripada jangkaan dan kesan daripada pelaksanaan Cukai Makmur.
Ini mendorong firma itu mengekalkan saranan 'under perform' terhadap Supermax dengan TP pada 90 sen.
Top Glove turut diberi saranan 'under perform' dengan TP RM1.30 manakala penarafan saham Kossan Rubber Industries Bhd. disemak turun kepada 'under perform' daripada 'market perform' sebelum ini dengan TP RM1.65. - DagangNews.com








