KUALA LUMPUR 7 Mac - Sektor perbankan Malaysia antara yang paling kukuh di Asia berada dalam kedudukan yang baik untuk merealisasikan aspirasi negara yang ketika ini sedang mengalami transformasi dan perubahan ketara, menurut Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Sehubungan itu, ketika berucap merasmikan pembukaan secara rasmi ibu pejabat HSBC Malaysia di Menara IQ, Tun Razak Exchange (TRX) hari ini, beliau menyifatkan adalah penting bagi Malaysia untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi dalam meningkatkan kedudukan negara sebagai hab pelaburan serantau.
Katanya, dengan kedudukan strategik di tengah-tengah Asia Tenggara, Malaysia merupakan antara negara yang memiliki taraf hidup yang tinggi di rantau ini.

"Dengan pautan keterhubungan dan merancang lebih banyak pelaburan infrastruktur dan modal insan beberapa tahun akan datang, negara bersedia untuk menjadi pangkalan perniagaan serantau dan antarabangsa.
"Kami berhasrat untuk merealisasikan potensi ini dengan meletakkan negara sebagai hab untuk bakat global, pusat pembangunan teknologi baharu dan menarik, dan titik tumpuan untuk pertukaran idea dan maklumat.
"Untuk itu, sektor kewangan negara ini yang pelbagai dan maju amat penting dalam memudahcarakan keperluan pembangunan," katanya pada majlis berkenaan turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif HSBC Bank Malaysia, Stuart Milne.
Baca : Bertapak sejak 130 tahun lalu, Malaysia kekal sebagai pasaran penting HSBC
Perpindahan HSBC Malaysia ke bangunan setinggi 33 tingkat itu membabitkan pelaburan sebanyak AS$250 juta, sekali gus menunjukkan fokus kumpulan bank itu untuk menyediakan persekitaran kerja moden yang sesuai dengan keupayaan digital yang unggul, menyepadukan standard tertinggi bagi kelestarian alam sekitar.
HSBC memiliki bangunan ini dan merupakan penyewa utama yang menduduki 22 tingkat manakala ingkat yang selebihnya akan dipajak kepada syarikat yang menyokong ekosistem TRX seperti syarikat teknologi
kewangan, kewangan dan perkhidmatan profesional.
Tengku Zafrul berkata, menjadi tumpuan utama kini ialah Pelan Tindakan Sektor Kewangan yang dilancarkan baru-baru ini, yang memperincikan strategi-strategi penting bagi sektor kewangan dalam mengharungi cabaran dan peluang serta merealisasikan matlamat ekonomi yang digariskan di bawah Rancangan Malaysia ke-12.
Pada dasarnya, katanya, pelan tindakan akan merealisasikan matlamat Malaysia ke arah 'Kemakmuran, Inklusiif dan Mampan' dengan lebih baik.
"Sehubungan ini, kami amat menghargai para pelabur yang telah sekian lama bertapak di Malaysia seperti HSBC yang telah memainkan peranan utama di negara ini sepanjang 130 tahun lalu, dan kini membantu dalam memudahcarakan pemulihan ekonomi, pertumbuhan dan transformasi Malaysia," jelasnya. - DagangNews.com








