KUALA LUMPUR 21 Mac - Kenanga Research mengekalkan penarafan ‘overweight’ ke atas sektor perbankan didorong pertumbuhan pinjaman yang berterusan dan keluaran dalam negara (KDNK), serta pengekalan margin yang lebih baik.
Firma penyelidikan itu berkata, faktor-faktor berkenaan dijangka terus mengatasi tekanan industri, iaitu tekanan inflasi dan nilai ringgit lebih lemah, yang mungkin mengurangkan cabaran kepada daya tahan sektor tersebut.
Menurut firma itu, sektor perbankan sepatutnya menarik minat dengan hasil dividen masih kelihatan menarik (6% hingga 7%) pada kebanyakan syarikat, di samping turun naik sektor yang lebih rendah berbanding industri lain.
“Kami telah melihat pergerakan bermakna dalam harga saham dengan aliran masuk pelabur asing yang ingin mengumpul saham berwajaran tinggi.
“Sehubungan itu, kami melihat peluang dalam kaunter seperti Public Bank Bhd (outperform; TP [harga sasaran]: RM5.10) dengan daya tahan yang dianggap tertinggi dengan pinjaman terjejas kasar (GIL) [0.4%] dijangka lebih positif untuk hapus kira.
“RHB Bank Berhad (outperform; TP: RM7.25) pula peneraju dividen baharu (kira-kira 7% hingga 8%) sambil disokong oleh baki Nisbah Ekuiti Tier-1 (CET-1) yang besar dan Alliance Bank Malaysia Berhad (outperform; TP: RM4.30) untuk asas mampan (ROE: 11%, hasil dividen 7%), yang mengatasi kaunter bermodal lebih besar tertentu, meskipun ia merupakan bank tersenarai terkecil,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.
Kenanga Research berkata demikian susulan Bank Negara Malaysia (BNM) mengeluarkan laporan Tinjauan Kestabilan Kewangan untuk separuh kedua 2023.
Firma penyelidikan itu mendapati bahawa BNM secara keseluruhannya optimis bahawa sistem kewangan domestik negara berkemungkinan kekal sangat stabil, yang mendorong keyakinan firma terhadap daya tahan landskap perbankan tempatan.
“Kami mendapati bahawa beberapa syarikat mungkin mengekalkan sasaran yang lebih sederhana untuk 2024 berikutan cabaran pertukaran mata wang asing (forex) dan inflasi yang tidak terkawal.
“Bagaimanapun, kami percaya persekitaran terburuk mungkin telah berakhir selepas bank telah menghadapi cabaran terbesarnya, iaitu pengetatan kos pembiayaan dalam 2023.
“Dari sudut positif, kebanyakan bank yakin dapat mengekalkan kualiti aset dengan risiko (walaupun kecil berbanding keseluruhan buku) berpunca daripada baki akaun bantuan pembayaran balik masing-masing,” tambahnya. - DagangNews.com








