KUALA LUMPUR 4 Jan - Pemain dalam sektor pembuatan masih kekal berhati-hati terhadap prospek permintaan pada 2023 yang dijangka kekal tidak berubah meskipun tahap keyakinan semakin meningkat, demikian menurut MIDF Research.
Ini beradasarkan kepada aktiviti pembuatan di Malaysia yang terus menguncup pada Disember 2022 dengan Indeks Pengurus Pembelian (PMI) berada di bawah paras 50 buat bulan keempat berturut-turut.
Kadar penurunan hampir sama dengan bulan sebelumnya kerana PMI hanya turun sedikit kepada 47.8 pada Disember (November : 47.9), tetapi penguncupan paling ketara sejak Ogos 2021.
Penyumbang utama kepada penguncupan pada bulan tersebut adalah penyederhanaan dalam pengeluaran dan pesanan dengan pirma perkilangan di Malaysia juga mengurangkan pembelian bahan mentah dan inventori.
"Memandangkan syarikat memperlahankan pengambilan pekerja dengan menjangkakan permintaan yang lebih perlahan, kadar penurunan dalam tunggakan kerja adalah antara yang paling mendadak sejak tinjauan ini dimulakan.
"Namun, dari segi positif, tinjauan PMI terkini menunjukkan pengurangan kos dan tekanan bekalan apabila firma menunjukkan prestasi vendor semakin stabil selepas tiga tahun mengalami kemerosotan dan akhirnya memotong harga jualan, pengurangan pertama dalam tempoh dua tahun setengah," katanya dalam nota kajian hari ini.
Semalam, Pakar Ekonomi S&P Global Market Intelligence, Laura Denman berkata, permintaan pelanggan yang tidak memberangsangkan, yang menyumbang kepada kesederhanaan berterusan dalam pengeluaran dan tempahan dalam tangan, kekal sebagai faktor utama dalam data PMI Disember.
S&P Global berkata, dengan purata 48.1 pada suku akhir tahun ini, PMI tersebut mewakili kira-kira 5% pertumbuhan dari tahun ke tahun Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, sekali gus mencerminkan beberapa kehilangan momentum daripada situasi pada suku ketiga.
Menurut MIDF Research, walaupun keyakinan bertambah baik bahawa unjuran akan menjadi lebih baik pada 2023, tahap keyakinan pengeluar pada 22 Dis kekal di bawah purata terutamanya disebabkan kebimbangan bahawa prospek permintaan akan kekal diredam pada masa hadapan.
"Kami melihat penguncupan pada Disember 2022 adalah sejajar dengan pengeluaran serantau yang lebih lemah seperti yang dicerminkan oleh penurunan dalam PMI bagi negara serantau lain, termasuk China.
"Oleh itu, kami menjangkakan aktiviti yang lebih perlahan dalam pengeluaran serantau akan kekal buat masa ini berikutan permintaan yang lebih lemah dan menjangkakan pertumbuhan perlahan dalam pasaran maju," jelasnya.
Dalam pada itu, firma itu mengekalkan pandangan berhati-hati ekoran pembukaan semula ekonomi China walaupun ia mencerminkan perkembangan yang positif.
"Ini kerana China juga terdedah kepada permintaan luar yang lemah, dengan ekonomi global diunjurkan mengalami pertumbuhan yang lebih perlahan tahun ini," katanya. - DagangNews.com








