Sektor pelancongan beransur pulih, Sarawak sasar 3 juta pengunjung tahun ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pelancongan beransur pulih, Sarawak sasar 3 juta pengunjung tahun ini

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 2 Mac - Sarawak menyasarkan 3 juta pengunjung menjelang akhir 2023 berikutan pemulihan sektor pelancongan domestik dan antarabangsa, menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.

 

Menurut beliau, acara ‘Beauty of Sarawak’ yang dianjurkan di Mitsui Outlet Park KLIA Sepang baru-baru ini dijangka merancakkan sektor pelancongan Sarawak tahun ini.

 

Kerjasama Lembaga Pelancongan Sarawak dan Mitsui Outlet yang telah berlangsung dari 17 hingga 26 Februari 2023 akan membantu usaha pelancongan negeri bumi kenyalang itu mencapai sasaran tersebut, tambahnya.

 

 

Datuk Sebastian Ting Chiew Yew turun padang meninjau acara 'Beauty of Sarawak', baru-baru ini.
Datuk Sebastian Ting Chiew Yew turun padang meninjau acara 'Beauty of Sarawak', baru-baru ini.

 

 

“Jumlah kedatangan pelawat pada tahun lalu mencatatkan lebih daripada 2 juta pengunjung, peningkatan lebih 761% berbanding tempoh yang sama pada tahun 2021, manakala angka kedatangan semula kira-kira 40% daripada paras sebelum pandemik pada 2019,” ujar beliau.

 

Sebastian memaklumkan sektor pelancongan negeri itu melonjak sebanyak 825% kepada RM4.96 bilion pada 2022 berbanding RM536.17 juta tahun sebelumnya.

 

Beliau menjangkakan kedatangan pelancong akan terus meningkat berikutan pelancongan antarabangsa yang beransur pulih.

 

 

Persembahan

 

 

Beliau menambah, pelbagai rancangan sedang dijalankan untuk memperkenalkan lebih banyak insentif perjalanan untuk mempromosi perjalanan domestik dan antarabangsa bagi merancakkan sektor pelancongan negeri itu yang merupakan salah satu ekonomi penting di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2023 (PCDS 2030).

 

Sepanjang acara itu berlangsung, pengunjung diperkenalkan kepada pakaian tradisional dan makanan asli negeri itu serta barangan kraf dan batik.

 

Selain itu, pengunjung dipersembahkan dengan tarian etnik masyarakat Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melanau dan Melayu kerana ia adalah peluang yang jarang berlaku. 

 

Pengurus Besar Eksekutif Pembangunan MFMA Development Sdn. Bhd., Frankie Lee berkata acara seumpamanya julung kali diadakan di Mitsui Outlet untuk mempromosi pelancongan negeri dan syarikat itu berharap untuk untuk menganjurkan lebih banyak acara pelancongan yang unik. -DagangNews.com