KUALA LUMPUR 10 Feb - Amerika Syarikat (AS) mengenakan sekatan terhadap tiga firma dari Singapura dan Malaysia berhubung peranan mereka yang didakwa memudahkan penjualan dan penghantaran petroleum dan petrokimia bernilai jutaan dolar bagi pihak syarikat yang diketahui mempunyai hubungan dengan Iran.
Lapor Bloomberg, Singapura ialah hab penting untuk perdagangan minyak dan gas dan dari semasa ke semasa, laporan telah muncul mengenai syarikat tempatan yang membantu negara seperti Iran dan Rusia mengelak sekatan AS.
Langkah terbaharu itu dibuat apabila permintaan untuk tangki simpanan minyak telah melonjak di negara itu, sebagai tanda bahawa kebanjiran bahan api Rusia sedang diadun dan dieksport semula ke seluruh dunia.
Dalam laporan itu, Setiausaha Perbendaharaan untuk Keganasan dan Perisikan Kewangan, Brian Nelson menerusi kenyataan berkata, Iran semakin beralih kepada pembeli di Asia Timur untuk menjual produk petrokimia dan petroleumnya, yang melanggar sekatan AS.
"AS tetap fokus dengan menyasarkan sumber pendapatan haram Tehran, dan akan terus menguatkuasakan sekatannya terhadap mereka yang dengan sengaja memudahkan perdagangan ini," katanya.
Berdasarkan laporan berkenaan, Asia Fuel Pte Ltd dan Unicious Energy Pte Ltd, kedua-duanya berpangkalan di Singapura, dan Sense Shipping and Trading Sdn Bhd dari Malaysia didakwa menjalankan perniagaan dengan Triliance Petrochemical Co Ltd, yang telah disekat pada 2020 kerana memudahkan penjualan produk petroleum Iran daripada National Iranian Oil Company.
Menurut Bloomberg, tiga firma itu adalah antara sembilan entiti yang didakwa AS memainkan peranan dalam pengeluaran, penjualan dan penghantaran petrokimia dan petroleum Iran bernilai ratusan juta dolar kepada pembeli di Asia.
Asia Fuel didakwa memudahkan penghantaran produk petroleum kepada pelanggan di Asia Timur sejak akhir 2021 dan mengatur untuk membayar yuran penyimpanan bagi pihak Triliance untuk menempatkan produk petroleum dalam kapal simpanan terapung yang berpangkalan di Malaysia.
Sementara itu, Unicious dituduh 'menyelaraskan berjuta-juta dolar dalam pembayaran berkaitan petroleum untuk syarikat lain dalam rangkaian dan membantu Triliance'. AS berkata, Sense Shipping adalah 'syarikat rekaan (front company) untuk Triliance'.
Bagaimanapun, menurut laporan itu, Unicious tidak menjawab panggilan dan e-mel yang meminta penjelasan mengenai dakwaan tersebut. Asia Fuel and Sense Shipping juga tidak dapat dihubungi dengan segera.
Awal bulan ini, sebuah syarikat perdagangan Singapura dan pengarahnya adalah antara beberapa entiti yang disekat oleh AS berhubung penglibatan mereka dalam rangkaian pengelakan sekatan Rusia yang menjual helikopter kepada kerajaan Amerika Latin bagi pihak firma milik Rusia. -DagangNews.com








