KUALA LUMPUR 25 Mei - T7 Global Bhd. merekodkan keuntungan selepas cukai sebanyak RM2.7 juta pada suku pertama berakhir 31 Mac 2022, meningkat 22.3% daripada RM2.2 juta bagi tempoh sama tahun kewangan 2021.
Pendapatan bagi tempoh itu turut meningkat 18.7% kepada RM62 juta daripada RM52.2 juta berikutan sumbangan yang lebih tinggi menerusi segmen tenaga.
Prestasi kukuh pada suku berkenaan didorong oleh pelaksanaan kerja yang lebih tinggi berkaitan perkhidmatan telaga bersepadu serta operasi dan penyelenggaraan untuk pelanggannya seperti Petronas Carigali Sdn. Bhd., Repsol Oil & Gas Malaysia Bhd. dan Carigali Hess Operating Company Sdn. Bhd.
Pengerusi T7 Global, Datuk Seri Dr Nik Norzrul Thani N. Hassan Thani berkata, kumpulan terus mencatatkan prestasi kukuh untuk suku semasa, menandakan permulaan tahun yang positif susulan prestasi cemerlang yang direkodkan pada 2021.
Dari segi prospek, katanya, harga minyak semasa yang menggalakkan terus memberi kesan positif ke atas prestasi kumpulan, menyumbang kepada permintaan kukuh untuk penyelesaian tenaga.
"Projek MOPU Bayan berada di landasan yang betul dan kami menjangkakan ia akan menyumbang kepada keuntungan mulai separuh kedua 2022 dan seterusnya untuk tempoh 10 tahun akan datang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dengan peningkatan yang ditunjukkan menerusi ketiga-tiga segmen perniagaan (pembinaan, tenaga, aeroangkasa dan pertahanan) dan nilai projek yang berdaya tahan, kumpulan yakin dapat merekodkan satu lagi tahun kewangan yang mantap.
"Kami komited untuk melabur dalam aset yang bersesuaian untuk tujuan seperti MOPU dan berbilang Unit Kerja Hidraulik bagi memenuhi permintaan dalam bidang perniagaan tenaga kami,” tambahnya.
Setakat ini, T7 Global memiliki nilai kontrak sebanyak RM2.3 bilion, yang akan memberi hasil kepada kumpulan dalam tempoh jangka masa panjang. - DagangNews.com








