Segmen perabot ELK-Desa terus catat peningkataan permintaan - TA Research | DagangNews Skip to main content

Segmen perabot ELK-Desa terus catat peningkataan permintaan - TA Research

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 2 Sept - Perniagaan perabot ELK-Desa Resources Berhad akan terus menerima manfaat daripada peningkatan permintaan didorong oleh kekuatan sentimen pengguna.

 

TA Research dalam nota kajiannya berkata, hasil daripada segmen perabot kumpulan itu melonjak sebanyak 70% kesan daripada permintaan kukuh dan kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

 

"Strategi untuk mendapatkan permintaan yang semakin meningkat termasuk bekerjasama rapat dengan peniaga perabot untuk mengenal pasti produk yang akan menarik minat pengguna.

 

"Selain itu kumpulan itu juga akan mengoptimumkan keupayaannya dalam pengurusan stok dan logistik, dan mengembangkan kapasiti gudang semasa," katanya.

 

Terdahulu, untung bersih bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2022 (1QFY23) melonjak lebih tiga kali ganda kepada RM17.59 juta, daripada RM4.97 juta setahun sebelumnya berikutan sumbangan lebih tinggi daripada segmen sewa beli dan perabotnya. 

 

Hasil bagi suku tersebut meningkat 24% kepada RM38.96 juta, berbanding RM31.37 juta setahun lalu.

 

Firma itu percaya, kunci kira-kira kumpulan itu yang stabil akan membantu merek berdepan kenaikan kadar faedah.

 

Katanya, bagi 1QFY23, kunci kira-kira kumpulan bertambah kukuh apabila pinjaman bank jatuh sebanyak 11% disebabkan oleh pembayaran balik kemudahan blok diskaun dan pinjaman berjangka.

 

"Kesannya, kos kewangan berkurangan sebanyak 42.4% berikutan usaha bersepadu kumpulan untuk mengurangkan pinjamannya," katanya.

 

Firma itu mengekalkan saranan 'beli' dengan nilai wajar (FV) RM1.50 sesaham. - DagangNews.com