KUALA LUMPUR 22 Feb - Untung bersih Media Prima Bhd. bagi suku berakhir 31 Disember 2022 susut 21% kepada RM22.85 juta berbanding RM28.94 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, disebabkan penurunan hasil bagi segmen pengiklanan dan membeli-belah di rumah.
Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 20% kepada RM252.67 juta daripada RM315.9 juta, menurutnya dalam makluman di Bursa Malaysia hari ini.
Dalam tempoh itu, segmen membeli-belah di rumah merosot sehingga 45% daripada suku yang sama sebelumnya, apabila pengguna lebih berhati-hati dalam perbelanjaan dan persaingan daripada pilihan e-dagang yang lain setelah kerajaan menarik balik sekatan pergerakan pada 2022.
Hasil Omnia turut mencatat penurunan 13% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya disebabkan pendapatan pengiklanan yang lebih perlahan menerusi platform media penyiaran kumpulan, yang diimbangi dengan hasil lebih tinggi daripada platform media digital dan pengiklanan luar rumah.
Untuk tempoh kumulatif 12 bulan, untung bersih syarikat media gergasi itu susut 6.1% kepada RM51.86 juta daripada RM55.23 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya, manakala pendapatan susut 11% kepada RM997.88 juta daripada RM1.12 bilion.
Baru-baru ini, Media Prima menukar tahun akhir kewangannya kepada 30 Jun, daripada 31 Disember sebelumnya.
Penyata kewangan teraudit kumpulan seterusnya adalah untuk tempoh 18 bulan dari 1 Jan 2022 hingga 30 Jun 2023, dan selepas itu, tahun kewangan akan berakhir pada 30 Jun untuk setiap tahun berikutnya.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan seperti dilapor Berita Harian, Pengarah Urusan Kumpulan Media Prima, Rafiq Razali berkata, keputusan kewangan kumpulan menunjukkan bahawa 2022 adalah tahun yang lebih mencabar di mana syarikat-syarikat media bertindak dengan cepat menghadapi lanskap persaingan yang berubah dengan pantas.
Beliau percaya kumpulan mampu untuk meningkatkan pertumbuhan hasil dan kecekapan operasi secara keseluruhan.
Kumpulan juga, katanya, membuat keputusan untuk menukar tahun kewangan kumpulan dari berakhir pada 31 Disember kepada 30 Jun bagi mengoptimumkan lagi perancangan audit dan pengagihan sumber.
"Kami juga sudah menilai semula kekuatan dan berbesar hati untuk berkongsi inisiatif untuk menyusun semula kumpulan di bawah rancangan perniagaan tiga tahun yang baharu.
"Pelan perniagaan strategik tiga tahun Media Prima ini bertujuan untuk memacu kemampanan perniagaan dengan memanfaatkan kelebihan daya saing kami sebagai syarikat media bersepadu.
"Kami percaya inisiatif ini akan meningkatkan lagi kelebihan daya saing kumpulan, meraih pelanggan dan projek bernilai tinggi, serta mencapai kepelbagaian pendapatan," katanya. - DagangNews.com








