Segmen peleburan Malaysia Smelting dirangsang kecekapan operasi loji baharu di Pulau Indah, kata Malacca Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen peleburan Malaysia Smelting dirangsang kecekapan operasi loji baharu di Pulau Indah, kata Malacca Securities

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 April - Walaupun pengeluaran perlombongan bijih timah dijangka meningkat, segmen peleburan Malaysia Smelting Corporation Bhd (MSC) akan dirangsang oleh kecekapan operasi yang lebih baik daripada loji Pulau Indah, kata Malacca Securities susulan lawatan ke kilang tersebut.

 

Mengulas lanjut, firma penyelidikan itu berkata segmen perlombongan mungkin menyaksikan peningkatan pengeluaran secara beransur-ansur, didorong usaha berterusan meneroka metodologi perlombongan baharu dan kilang pemprosesan tambahan di Sg. Lembing.

 

“Oleh itu, kami menjangkakan Malaysia Smelting akan mencapai 11.0 tan bijih timah sehari menjelang akhir tahun 2023 berbanding pengeluaran 2022 kira-kira 10.4 tan sehari.

 

Sementara itu, tanah Asas Baiduri menyediakan kolam perlombongan dan kapasiti penyimpanan tambahan akan menghilangkan kekangan untuk mendalamkan lagi lombong,” katanya dalam nota hari ini.

 

Di samping itu, loji peleburan Pulau Indah telah beroperasi pada kadar kira-kira 60 hingga 70% pada masa ini, manakala loji Butterworth pada sekitar 50%.

 

“Penggunaan gas asli di loji Pulau Indah untuk meleburkan dalam proses satu peringkat akan menjimatkan kos perburuhan kira-kira 30 hingga 40%, manakala pemasangan panel solar fotovoltaik  memberi penjimatan kos elektrik sekitar 30% dan mengurangkan jejak karbon yang mengukuhkan kedudukan mereka dalam segmen hijau,” katanya.

 

Dari segi prospek segment peleburan, kilang Butterworth akan meleburkan baki pengantara bijih timah dalam tempoh dua hingga empat tahun akan datang sebagai sebahagian daripada usaha penyahtauliahan operasi kilang itu secara beransur-ansur dan hanya memberi tumpuan kepada loji peleburan Pulau Indah memandangkan kilang baharu ini dilengkapi teknologi canggih menggunakan Top Submerged Lance (TSL) menawarkan hasil pengeluaran yang lebih baik.

 

Menurut firma itu, penempatan semula loji peleburan Butterworth mungkin melapangkan 13.9 hektar tanah untuk pembangunan hartanah bercampur, yang terdiri daripada kediaman dan komersial.

 

“Kami menganggap ia sebagai langkah tepat pada masanya untuk membuka kunci nilai aset serta kumpulan itu telah beroperasi di tanah tersebut sejak 1902. Namun, pelan tersebut adalah pada peringkat awal, yang masih belum dimasukkan ke dalam ramalan pendapatan kami,” jelasnya.

 

Firma itu turut berpendapat pemulihan harga timah mungkin menyaksikan kestabilan pada masa hadapan yang boleh dijangka purata sekitar AS$25,000 setiap tan metrik pada tahun ini, didorong permintaan kukuh dalam penggunaan industri, pembukaan semula China dan tekanan inflasi berterusan dalam harga komoditi akibat ketegangan Rusia-Ukraine.

 

Malacca Securities mengekalkan saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak RM1.96 sesaham. -DagangNews.com