Segmen automotif dijangka terus pacu prestasi DRB-Hicom bagi 2022 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen automotif dijangka terus pacu prestasi DRB-Hicom bagi 2022

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Feb - Segmen automotif akan terus menjadi pemacu utama bagi DRB-Hicom Bhd. dengan penguasaan pasaran yang lebih baik dan pelbagai pelancaran baharu, menurut Kenanga Research.

 

Penganalisisnya, Wan Mustaqim Wan Ab Aziz berkata, Proton dan Honda dijangka mencatatkan jumlah jualan yang lebih kukuh pada 2022 dengan Proton meletakkan sasaran 150,000 unit tahun ini.

 

Katanya, Proton mengakhiri 2021 dengan jualan kenderaan sebanyak 111,695 unit, yang tertinggi sejak 2014. 

 

"Momentum positif ini dijangka berterusan terutama apabila pengecualian cukai jualan bagi kenderaan penumpang dilanjutkan sehingga 30 Jun 2022 dan pelancaran baharu akan datang dapat mengukuhkan kedudukan bahagian pasaran kumpulan," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Dalam laporan kewangan yang diumumkan semalam, untung bersih DRB-Hicom merosot sehingga 88% kepada RM117.47 juta bagi suku keempat berakhir 31 Disember 2021 (FY2021) berbanding RM985.99 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. 

 

Pendapatan bagi tempoh itu juga susut 15% kepada RM4.12 bilion daripada RM4.85 bilion bagi tempoh sama 2020.

 

Bagi tahun kewangan penuh berakhir 31 Disember 2021 (FY2021), kumpulan merekodkan kerugian bersih sebanyak RM296.42 juta berbanding untung bersih RM554.13 juta bagi FY2020 memandangkan pendapatan susut 5.9% kepada RM12.38 bilion daripada RM13.16 bilion. 

 

Penurunan ini disumbangkan hampir kesemua segmen perniagaannya kecuali bagi automotif dan perkhidmatan. 

 

Dengan kerugian teras yang lebih rendah bagi FY2021 sebanyak RM210 juta brebanding kerugian teras RM284 juta bagi FY2020, prestasi kewangan pada tempoh berkenaan adalah melebihi jangkaan Kenanga Research.

 

Ini berikutan pemulihan yang lebih kukuh pada suku keempat selepas segmen automotifnya terjejas dengan sekatan pergerakan pada suku ketiga. 

 

Wan Mustaqim berkata, apabila ekonomi global dibuka semula secara beransur-ansur, perniagaan aeroangkasa dan pertahanan dijangka meningkatkan pengeluaran mereka di samping kekal fleksibel dalam memenuhi permintaan pelanggan yang sentiasa berubah," jelasnya.

 

"Bagi segmen pos, pelan pemulihan berterusan yang memberi fokus terutamanya pada kecekapan kos yang ketat dan strategi berpusatkan pelanggan dijangka meningkatkan prestasi keseluruhannya.

 

"Perniagaan lain dalam perbankan, perkhidmatan dan hartanah pula akan terus beroperasi secara cekap dengan mengoptimumkan pengurusan kos dan meningkatkan produktiviti perniagaan," katanya. 

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan pandangan 'outperform' terhadap DRB-Hicom dengan harga sasaran pada RM1.80. - DagangNews.com