KUALA LUMPUR 6 April - Susulan laporan aduan penipuan pelaburan mencecah RM1 bilion yang dikemukakan oleh Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) semalam, Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) mengambil tindakan untuk menyiasat dakwaan tersebut.
“SC telah menerima aduan mengenai dakwaan penipuan yang dikemukakan oleh MHO semalam.
“Pihak kami akan menyemak isi kandungan aduan tersebut dan seandainya terdapat pelanggaran undang-undang sekuriti, tindakan penguatkuasaan yang sewajarnya akan diambil.
“SC mengambil serius semua aduan yang dikemukakan dan kekal komited dalam melaksanakan kuasa berkanunnya dalam menegakkan integriti pasaran modal termasuk menjaga kepentingan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Seramai 500 mangsa terlibat telah menghantar laporan aduan kepada SC semalam bagi membolehkan agensi itu menyiasat syarikat-syarikat yang disyaki melakukan pecah amanah dan menipu duit pelaburan orang ramai, menurut laporan Bernama semalam.
Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim, mewakili mangsa berkata aduan berkenaan melibatkan beberapa syarikat pelaburan yang menawarkan skim pelaburan kepada orang ramai dengan kadar dividen dan pulangan lumayan.
Syarikat-syarikat terbabit turut menggunakan nama tokoh terkenal, kerabat diraja, bekas pegawai kerajaan dan agamawan, sedangkan tokoh-tokoh berkenaan tidak terlibat langsung dengan skim pelaburan itu.
"Mangsa percaya dengan tawaran yang dijanjikan namun syarikat-syarikat ini tidak membuat sebarang bayaran atau pulangan kepada mangsa.
"Ada yang melabur RM100,000 hingga jutaan ringgit.
"Kebanyakan mangsa menggunakan wang persaraan dan wang simpanan untuk melabur," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan laporan aduan kepada SC.
Beliau berkata laporan kepada SC adalah langkah kedua setelah pihaknya membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Sentul, bulan lepas. -DagangNews.com








