Saringan kesihatan pekerja asing perlu diperketat: Penyakit filariasis, hepatitis dan salah guna dadah meningkat | DagangNews Skip to main content

Saringan kesihatan pekerja asing perlu diperketat: Penyakit filariasis, hepatitis dan salah guna dadah meningkat

Oleh JOHARDY IBRAHIM

PELAKSANAAN saringan kesihatan bagi pengambilan pekerja asing perlu diperketatkan berikutan peningkatan dalam pengesanan penyakit Filariasis (penyakit untut), Hepatitis C dan penyalahgunaan dadah (methamphetamine).

 

Penyakit filariasis disebabkan oleh jangkitan parasit filaria disebarkan kepada manusia melalui nyamuk dan biasanya, jangkitan diperoleh semasa zaman kanak-kanak dan menyebabkan kerosakan tersembunyi pada sistem limfa.

 

Naib Presiden I-Medik, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UniSZA, Dr Mohd Ihsanuddin Abas berkata, pihak berkuasa kesihatan telah mengesan 524 kes Filariasis, 462 kes Hepatitis C, dan 421 kes penyalahgunaan Methamphetamine di kalangan pekerja asing dalam tempoh 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024.

iktisad

 

Tiga saringan kesihatan tambahan itu telah diwajibkan ke atas pekerja asing dalam senarai ujian saringan sedia ada berikutan peningkatan kes kesihatan berdasarkan data Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kerana ia menimbulkan ancaman kepada kesihatan awam dan produktiviti negara.

 

BACA: Pemeriksaan tahunan pekerja asing penting cegah awal penyakit berjangkit, elak kos rawatan tinggi

 

Filariasis limfatik disebarkan oleh pelbagai jenis nyamuk, seperti nyamuk Culex, yang tersebar luas di kawasan bandar dan separa bandar, nyamuk Anopheles, terutamanya ditemui di kawasan luar bandar, dan nyamuk Aedes, terutamanya di pulau endemik di Pasifik.

 

 

 

 

Menurut data yang dikeluarkan KKM, sehingga Oktober 2023, peratusan kes Filariasis dalam kalangan pekerja asing telah meningkat kepada 43.95 peratus berbanding 32.47 peratus dicatatkan pada 2020.

 

Sementara itu, kes Hepatitis dalam kalangan bukan warganegara meningkat kepada 4.56 peratus pada tahun lepas berbanding 1.03 peratus pada 2020.

 

 

Naib Presiden I-Medik, Pakar Perubatan Kesihatan Awam UniSZA, Dr Mohd Ihsanuddin Abas
                                           Dr Mohd Ihsanuddin Abas

 

 

“Angka peratusan peningkatan itu kelihatan kecil, tetapi bilangan sebenar meningkat kepada 167 kes daripada 34 kes, peningkatan lebih daripada empat kali ganda dan ia membimbangkan,” kata Dr Mohd Ihsanuddin.

 

“Data yang dilaporkan adalah berdasarkan kes yang direkodkan dan jumlah kes adalah lebih tinggi kerana terdapat kes yang tidak direkodkan, termasuklah pesakit yang tidak menerima rawatan,” ujar beliau.

 

Filariasis telah diisytiharkan sebagai penyakit endemik di lapan negeri, iaitu Kedah, Perak, Johor, Pahang, Terengganu, Kelantan, Sabah, dan Sarawak, manakala kelaziman Virus Hepatitis C (HCV) berbeza-beza di rantau Asia Timur, kira-kira 0.5 peratus di Singapura dan Hong Kong, Vietnam dan Thailand (enam peratus), Myanmar (10 peratus).

 

Di samping itu, kerajaan Malaysia juga telah melaksanakan Program Eliminasi Filariasis Limfatik Kebangsaan, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia, yang bertujuan untuk menghentikan penularan filariasis dan mengawal morbiditi filariasis limfa pada pesakit.

 

Program ini melibatkan pemberian rawatan ubat kepada seluruh penduduk di kawasan endemik yang dijalan setiap tahun untuk lima pusingan dan pada masa yang sama program ini merangkumi pendidikan kesihatan kepada masyarakat bagi meningkatkan kesedaran tentang penyakit tersebut dan menekankan gaya hidup sihat dan baik serta kebersihan diri, terutamanya dalam kalangan pesakit yang terjejas.

 

 

meth

 

 

Penyalahgunaan dadah dalam kalangan pekerja asing

Menurut statistik Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sejumlah 118,820 individu dilaporkan berkaitan kes penyalahgunaan dadah dalam tempoh enam bulan awal 2023, berbanding 93,534 individu pada 2022 dan terdapat sejumlah 421 kes penyalahgunaan methamphetamine dalam kalangan pekerja asing antara 1 Januari 2024 hingga 29 Februari 2024.

 

Tambahan pula lebih 65 peratus penagih dadah dikenal pasti menggunakan dadah sintetik, kebanyakannya dalam kalangan belia.

 

Selain itu, dalam tempoh 1 Januari hingga 29 Februari 2024, FOMEMA juga menemui pelbagai penyakit berjangkit di kalangan pekerja asing di Malaysia, termasuk 1,385 kes tuberkulosis, 821 kes Hepatitis B, 187 kes sifilis, 90 kes HIV, tiga kes malaria, dan satu kes kusta. - DagangNews.com