Samsung lancar siri Galaxy S23 dengan harga bermula RM3,899 | DagangNews Skip to main content

Samsung lancar siri Galaxy S23 dengan harga bermula RM3,899

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 2 Feb - Samsung Electronics Co Ltd melancarkan Galaxy S23 Ultra, Galaxy S23+ dan Galaxy S23, menandakan era baharu pengalaman telefon premium terbaik Samsung Galaxy. 

 

Semua inovasi penetapan standard baharu siri Galaxy S23 ditempatkan dalam reka bentuk menarik yang memajukan komitmen kemampanan syarikat dengan lebih banyak komponen dibuat menggunakan bahan kitar semula berbanding telefon pintar Samsung Galaxy lain.

 

Presiden dan Ketua Perniagaan Mobile eXperience Samsung Electronics, TM Roh berkata, keseluruhan siri Galaxy S23 membawa standard baharu pengalaman telefon pintar premium yang boleh dipercayai. 

 

"Kami dalam misi untuk mentakrifkan semula prestasi puncak dengan menghimpunkan inovasi dan kemampanan yang berkuasa dan berkekalan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Dalam pada itu, model Galaxy S23 Ultra memudahkan jurugambar menangkap kandungan fenomenal, yang mana menawarkan sistem kamera paling canggih Samsung Galaxy, disesuaikan untuk hampir semua keadaan pencahayaan dan direka bentuk untuk memberikan perincian luar biasa. 

 

Galaxy S23 Ultra menawarkan kamera 200MP baharu yang merakam detik-detik epik dengan ketepatan yang luar biasa.

 

Selain itu, ia juga memperkenalkan auto fokus pantas dan kamera swafoto Super HDR pertama, melonjak daripada 30fps kepada 60fps, untuk mendapatkan imej dan video menghadap hadapan yang lebih baik.

 

 

samsung

 

 

Dari segi spesifikasi pula Galaxy S23 Ultra ditawarkan dengan cip Snapdragon 8 Gen 2 For Galaxy yang dipadankan dengan 12GB dan storan sehingga 1TB yang memberikan prestasi lebih berkuasa.

 

Telefon pintar itu turut dilengkapi skrin kaca yang dinaik taraf menerusi jenis Gorilla Glass Victus 2 yang tahan lasak dan boleh digunakan dengan lebih lama.

 

 

samsung

 

 

samsung

 

 

samsung

 

 

Di samping itu, Galaxy S23 Ultra masih mengekalkan kapasiti bateri 5,000mAh yang dicas secara berwayar sehingga 45W.

 

Siri Galaxy S23 hadir dalam empat warna matte yang diilhamkan oleh alam semula jadi, antaranya Phantom Black, Cream, Green dan Lavender.

 

Model Galaxy S23 Ultra mula dijual dengan harga RM7,199 bagi storan 12/1TB, RM6,669 (12/512GB) dan 6,199 (12/256GB), manakala RM3,899 untuk storan 8/128GB. - DagangNews.com