Samaiden dapat ‘lampu hijau’ pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

Samaiden dapat ‘lampu hijau’ pindah penyenaraian ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 27 Mac - Samaiden Group Berhad telah menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk pindah penyenaraian dan sebut harga bagi keseluruhan modal saham terbitannya dan waran tertunggak daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama hari ini.

 

Bursa Malaysia melalui suratnya bertarikh 27 Mac 2023, meluluskan pemindahan di bawah sektor produk dan perkhidmatan industri. 

 

Kumpulan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa pemindahan penyenaraian akan berkuat kuasa dua hari pasaran selepas pengumuman kepada Bursa Malaysia pada tarikh pemindahan yang akan diumumkan kemudian.

 

Berhubung dengan pemindahan penyenaraian itu, Samaiden telah memenuhi keperluan keuntungan di bawah Garis Panduan Ekuiti Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), di mana ia telah mencapai agregat keuntungan bersih RM32.59 juta dalam tempoh empat tahun kewangan lepas dan keuntungan selepas cukai sebanyak RM11.93  juta untuk tahun kewangan terkini.

 

 

Pengarah Urusan Kumpulan Samaiden, Ir.  Chow Pui Hee berkata kejayaan pemindahan tersebut membuktikan kekuatan perniagaan syarikat dan rekod prestasi projek kejuruteraan, pemerolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) yang telah disiapkan. 

 

 

Chow Pui Hee
Chow Pui Hee

 

 

“Kami akan terus memanfaatkan kepakaran tenaga boleh diperbaharui (RE) kami dalam sistem solar fotovoltaik (PV) dan loji kuasa untuk mencari lebih banyak projek apabila perniagaan dan organisasi lain bergerak ke arah operasi yang lebih mampan. 

 

Inisiatif kerajaan turut menjadi pemangkin kepada pembangunan industri RE di Malaysia yang membolehkan kami mengambil bahagian sebagai pelabur,” kata Pui Hee dalam kenyataan tersebut.

 

Menurut beliau, penyenaraian di Pasaran Utama akan membantu meningkatkan pengiktirafan dan minat pelabur dalam saham kumpulan, terutamanya pelabur institusi, yang seterusnya akan meningkatkan daya tarikan serta kebolehpasaran saham. 

 

Ia juga akan meningkatkan kedudukan dan kredibiliti dalam kalangan pelanggan, pembekal, sub-kontraktor, rakan perniagaan, jurubank dan pekerja, tambahnya. -DagangNews.com